Ramadan Mengukir Senyuman Anak Yatim

Diterbitkan: Sabtu, 5 Julai 2014 12:30 AM

Gambar Hiasan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kehadiran bulan penuh keberkatan, Ramadan, sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kerana keistimewaan dan kelebihannya sehingga ia dikenali sebagai 'penghulu segala bulan'. 

Tidak kira tua atau yang muda, mereka menjadikannya sebagai medan menambahkan pahala dan ganjaran hebat yang dijanjikan Allah S.W.T. sepanjang bulan itu selain menjadi landasan terbaik mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga. 

Lagipun, sudah menjadi satu kelaziman bagi yang menetap jauh di bandar pulang ke kampung pada awal bulan kemuliaan itu untuk menjalani ibadah puasa bersama ibu dan ayah. 

Bagi mereka, kenikmatan bersahur, berbuka puasa dan mengerjakan ibadah solat terawih di surau atau masjid lebih dirasai apabila dapat berkumpul bersama-sama dua individu penting itu dan adik beradik lain. 

Akan tetapi, segala kemesraan dan keseronokan menyambut bulan rahmat ini di samping insan bergelar ibu dan ayah tidak mungkin dapat dirasai bagi mereka yang tergolong dalam kalangan anak yatim piatu. 


Tidak Dipinggirkan

Istimewanya, di sebalik ketiadaan ahli keluarga tercinta sepanjang menjalankan ibadah berpuasa itu, terselit seribu hikmah yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada golongan tidak bernasib baik ini. 

Mereka mungkin tidak dapat mengenal erti kasih dua insan itu tetapi golongan anak yatim piatu ini tidak pernah putus dilimpahi rasa sayang daripada dermawan pelbagai pihak. 

Ada sahaja yang tampil menghulurkan bantuan dan boleh dikatakan Ramadan adalah bulan pembawa rahmat, rezeki kepada golongan ini dan tidak ada langsung istilah dipinggirkan. 

Malahan, golongan inilah yang paling meriah sekali diraikan setiap kali tibanya bulan Ramadan sama ada anjuran syarikat swasta, jabatan kerajaan, pemimpin politik mahupun individu berkemampuan. 

Amalan bersedekah, menjadi pilihan dan popular dalam kalangan mereka selain ia antara satu tanggungjawab sosial sesebuah syarikat. 

Kebanyakannya berlumba-lumba melakukan kebajikan seperti memperbanyakkan amalan bersedekah pada bulan itu kerana balasan dan pahala yang bakal diperoleh amat besar. 

Ia sepertimana disebut antara satu hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi yang bermaksud, "Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan". 


Kreativiti Dan Keunikan

Justeru, pelbagai cara dan program diadakan bertujuan menggembirakan hati anak ini tatkala mengharungi cabaran berpuasa serta mengubati kesedihan dan kesepian dialami mereka. 

Contohnya, jika 10 tahun lepas, amalan bersedekah lebih tertumpu dalam bentuk pemberian wang tunai atau apa-apa sahaja sumbangan, tetapi kini selaras dengan peredaran masa elemen kreativiti menjadi pilihan penganjur ataupun penderma. 

Lokasi pilihan juga, kebanyakannya memberi ruang kepada golongan tidak bernasib baik ini merasai nikmat dan suasana berbuka puasa di hotel, restoran terkemuka atau di luar dari rumah kebajikan sambil dilayan bagaikan tetamu VIP. 

Mereka bukan hanya sekadar makan-makan dan diberi duit raya, hamper atau kata orang sekadar cukup melengkapkan majlis berbuka puasa sahaja, tetapi kanak-kanak ini juga diberi ruang untuk terbabit sama dalam sesuatu program. 

Antaranya, menyelitkan elemen pengetahuan seperti mendedahkan mereka kepada alatan muzik tradisional di samping mempelajari seni anyaman ketupat. 

Ada juga yang menggunakan perkhidmatan badut agar kanak-kanak ini terhibur sementara menunggu waktu berbuka. Keletahnya yang bersahaja dengan solekan tebal pada wajah badut itu mampu menarik perhatian golongan ini selain melibatkan mereka dengan pelbagai permainan. 

Tampil kelainan juga, apabila ada pihak yang membawa tukang gunting rambut berpengalaman ke Asrama Pertubuhan Anak-anak Yatim Persatuan Bekas Perajurit Malaysia. 

Idea kreatif meraikan kanak-kanak ini bertujuan untuk membantu mereka tampil kemas dan bersih terutama pada pagi Syawal. 


Nilai Sepasang Baju Dan Sepatu Baharu

Bagaikan tidak lengkap, sekiranya tiada persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. 

Tambahan pula, kanak-kanak antara yang tidak sabar menanti hari lebaran untuk bergaya dengan baju baharu sambil berjalan-jalan mengutip duit raya. 

Menariknya, golongan tidak bernasib baik ini juga tidak pernah dilupakan malah sentiasa 
menjadi rebutan banyak pihak untuk membawa mereka membeli-belah persiapan raya. 

Biarpun tidak dapat merasai nikmat persediaan persiapan raya bersama ibu dan ayah, namun anak yatim ini diberi pilihan dan kelonggaran untuk mereka memilih sendiri baju idaman. 

Tidak terhad kepada pakaian, dihulurkan juga tudung dan telekung bagi yang perempuan, songkok dan sampin bagi lelaki. Kata orang, barang keperluan untuk penampilan diri dari atas hingga bawah semuanya lengkap. 

Antara yang menarik perhatian ialah membawa anak yatim dari Pusat Jagaan Siraman Kasih di Rawang, Selangor menaiki kenderaan pancuan empat roda (4x4)
untuk membeli-belah keperluan hari raya. 

Dinamakan Program Amal Ramadan, ini yang dilakukan oleh Kelab Redah 4x4 pada Ramadan tahun lepas bagi menyuntik kelainan berbanding menggunakan bas seperti kebiasaan dibuat oleh pelbagai pihak. 

Persatuan Suri dan Anggota Wanita (Benita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga tidak terkecuali membuat kelainan dalam pendekatan amalnya apabila menumpukan kepada pemberian kasut raya menerusi 'Program Sepatu Raya Untuk Si Anak Yatim'. 


Artis Dan Aktiviti Amal

Dalam pada itu, selebriti dan aktiviti amal cukup sinonim terutama dalam bulan Ramadan. Mereka sering kali dijemput untuk memeriahkan majlis berbuka puasa ataupun menjadi sukarelawan menghantar makanan sahur ke mana-mana rumah kebajikan. 

Tanpa ada sempadan, keramahan melayan anak yatim di samping membuat persembahan hiburan dapat mengubati kesedihan di hati mereka selain berpeluang melihat artis kesayangan secara lebih dekat lagi. 

Semua ini, menyebabkan golongan istimewa ini sentiasa tidak sabar menanti kedatangan Ramadan, kata Pengasas dan Pengetua Rumah Titian Kaseh (RTK) Sharifah Adlan. 

Dengan jumlah penghuni seramai 130 orang meliputi anak yatim, golongan emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU), Sharifah berkata jemputan berbuka puasa boleh dikatakan diterima hampir sepanjang Ramadan. 

"Jemputan itu datang daripada jabatan kerajaan mahupun syarikat swasta. Kalau individu perseorangan pula, mereka selalunya menghantar makanan atau buah ke RTK. 

"Bukan hanya hiburan, malah jemputan majlis yang diterima turut mempunyai pengisian agama seperti tazkirah sebelum berbuka puasa dan solat terawih", katanya.

Mengenai pemberian duit raya, semuanya akan dikumpul dan dimasukkan ke dalam simpanan masing-masing sekali gus membantu memupuk amalan menabung sejak dari kecil lagi.


Kemudian Dilupai?

Bagaimanapun, benarkah sumbangan dan sedekah kepada rumah kebajikan ini hanya berlaku semasa bulan Ramadan sahaja? 

Sekiranya begitu, apakah pula nasib anak-anak yatim ini selepas berakhirnya bulan mulia itu dan ini antara kebimbangan yang pernah disuarakan oleh sesetengah pihak. 

Hakikatnya, budaya menderma dan sikap prihatin terhadap golongan memerlukan adalah menebal dalam kalangan masyarakat negara ini tanpa mengira bangsa dan masa. 

Cuma, kemeriahannya lebih dirasai semasa menjelangnya Ramadan apabila anak-anak ini dirai bagaikan sebuah "keluarga". 

Tags / Kata Kunci: anak yatim , Ramadan

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan