Hishammuddin Minta Rizalman Tak Diadili Sebelum Keputusan Mahkamah

Diterbitkan: Sabtu, 5 Julai 2014 8:54 PM

Hishammuddin (kanan) bersalaman dengan tetamu ketika hadir pada majlis berbuka puasa bersama ketua jabatan, anak yatim serta warga emas di kediaman Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di Melaka, Sabtu. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta kes Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail yang didakwa melakukan pecah rumah dan serangan seksual di New Zealand tidak diadili di 'mahkamah media dan umum.'

Beliau berkata, tindakan itu tidak adil kepada pegawai berkenaan dan keluarganya sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Kes ini tiada kaitan dengan polemik, geopolitik atau hubungan dua hala.

"Ini berkaitan keadilan... keadilan bukan hanya kepada mangsa tetapi juga kepada tertuduh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat di Seri Bendahara pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Hishammuddin juga berkata, kerajaan akan membantu melantik peguam bagi membolehkan Muhammad Rizalman mendapat pembelaan yang adil.

"Pulangnya (Muhammad Rizalman) ke New Zealand akan bersama pegawai dari pihak Angkatan Tentera Malaysia, seorang peguam yang kita akan bantu lantik dan pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara," katanya.

Muhammad Rizalman, 38, bekas pembantu staf pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand didakwa melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol seorang wanita 21 tahun pada 9 Mei lepas.

Pada majlis itu, Hishammuddin menyampaikan sumbangan baju kurung dan wang tunai kepada 48 penghuni Kompleks Anak Yatim Fatimah Az-Zaharah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan