Ramadan Jalin Keakraban Hidup Berjiran

Diterbitkan: Jumaat, 4 Julai 2014 1:30 AM

RAkyat berbilang bangsa dan agama dibawa naungan 1Malaysia

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Ravi, jiran bagi apa buka puasa semalam?" Penulis mengusik rakan semeja Ravichandran D.J. Paul pada hari kedua Ramadan. 

Lantas beliau bangun dari tempat duduknya seraya menunjukkan gambar di telefon bimbitnya, ada bihun dan tose. 

Penulis sebenarnya seronok mendengar cerita bagaimana mewahnya makanan yang beliau terima setiap kali datangnya bulan Ramadan. Lazimnya mesti ada nasi beriani, bubur nasi dan pelbagai jenis kuih. 

Ada kalanya makanan yang diterimanya begitu banyak sehingga terpaksa disimpan di bahagian pembekuan peti ais 'freezer'. 

"Dapur boleh tutup masa Ramadan, tak payah masak", katanya secara berseloroh. 

Ravi tinggal di Taman Rowther, Kuala Lumpur sejak 2008, kawasan kejiranan yang didiami kebanyakannya orang Islam. 

Kalau diikutkan Ravi dan keluarganya bukan beragama Islam tetapi atas dasar semangat kejiranan, beliau masih menerima juadah berbuka puasa daripada jirannya yang beragama Islam. 

Beliau juga sering membeli juadah untuk diberi kepada jirannya bak peribahasa Melayu, "Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa". 

Semangat kejiranan beginilah yang sebenarnya perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat negara ini yang berbilang bangsa untuk meningkatkan mutu kehidupan yang penuh aman dan harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia. 

Kenangan Silam

Bulan Ramadan dan sikap mesra jiran yang terdapat di kawasan kediaman Ravi mengingatkan penulis kepada suasana kehidupan semasa kecil.

Tradisi bertukar juadah berbuka puasa begitu subur dalam kalangan jiran tetangga yang kebanyakannya beragama Islam. 

Walaupun sepiring kuih, walaupun semangkuk bubur atau semangkuk kuah, bertukar juadah berbuka puasa sebagai menjadi satu kemestian. 

Keseronokannya ialah menunggu apa yang jiran hendak beri apabila kita hulurkan juadah. Jarang sekali kita pulang dengan tangan kosong. 

Masa itu juga, tidak ada istilah membeli, semuanya hasil masakan dan air tangan sendiri. 

Ada kalanya, juadah yang berlebihan boleh dibuat untuk makanan sahur. Begitu kenangan lama mengusik jiwa! 

Masih Amalkan

Selain Ravi, penulis seronok mendengar cerita rakan Facebook penulis, Rose Iema yang tinggal di Meru, Klang. Rose teruja berkongsi suasana Ramadan di taman perumahannya. 

Beliau yang berasal dari Felda Jengka 18 berhijrah ke Meru mengikuti suaminya pada 2002. 

Suami Rose anak kelahiran Felda Jengka 5. 

"Kebanyakan penduduk di taman perumahan ini berketurunan Jawa. Sebelum Ramadan lagi mereka biasa bertukar-tukar hidangan Nasi Ambeng. Dalam hidangan ini ada nasi putih, bihun atau mi goreng, sambal, tempe dan lauk pauk yang lain.

"Semasa Ramadan, menjadi kebiasaan bertukar kuih atau lauk. Kalau saya buat kuih karipap, saya akan beri kepada jiran di depan, kiri dan kanan rumah. 

"Mereka akan membalas. Akhirnya, penuh meja dengan kuih dan lauk-pauk", kata Rose sambil menambah kebanyakan juadah adalah hasil masakan sendiri. 

Menurut Rose, kawan-kawannya yang tinggal di tempat lain tidak bernasib baik seperti dirinya kerana mereka terpaksa membeli pelbagai jenis juadah. 

Suasana hidup berjiran yang begitu akrab itu mengingatkan Rose kepada suasana tinggal di Felda yang penduduknya sememangnya erat dan mesra. 

"Saya sudah biasa dengan tradisi bertukar juadah semasa di kampung lagi dan saya seronok melihat ia masih wujud. 

"Kami di sini juga mengamalkan semangat gotong-royong jika ada kenduri-kendara termasuk kenduri kahwin," katanya. 

Bagi Rose, semangat kejiranan yang akrab itu turut membuatkan dia merasa selamat jika mahu meninggalkan rumah untuk pulang bercuti ke kampung.

"Kami biasa berpesan-pesan sesama sendiri jika mahu ke mana-mana atau pulang bercuti. Kalau kita sakit, pening ke, jiran-jiran turut mengambil berat", kata Rose. 

Hidup Berjiran

Ravi dan Rose boleh dikatakan bernasib baik kerana tinggal di kawasan kejiranan yang masih mengamalkan tradisi mesra jiran. 

Di penempatan atau taman perumahan lain terutama di bandar besar, keadaan mungkin serba-serbi sudah jauh berubah sehinggakan ada yang tidak kenal siapa jiran walaupun hanya sebelah rumah. 

Apatah lagi bagi mereka yang tinggal di pangsapuri atau kondominium dan yang keluar bekerja pada awal pagi dan balik lewat petang atau malam. 

Mungkin ini harga pembangunan yang perlu dibayar apabila kawasan kejiranan lebih berupa 'hutan batu'.

Kawasan perumahan kelihatan sepi pada waktu siang dan cahaya lampu yang menerangi rumah pada waktu malam sebagai tanda penghuninya sudah pulang. 

Sikap "bawa hal masing-masing" dan "tidak jaga tepi kain orang" menjadikan kawasan perumahan seperti ini bukan sahaja tidak mesra jiran tetapi juga memudahkan jenayah atau perkara yang tidak diingini berlaku. 

Kita biasa baca di media cetak bagaimana jiran tidak tahu apa yang berlaku di sebelah rumah, daripada kes rompakan, kes buang bayi hinggalah kes anak istimewa diabai.

Perlu Proaktif

Semuanya ini menuntut agar institusi kejiranan diperteguhkan. Perlu diwujudkan suasana hidup di kampung yang memang terkenal dengan sifat peramah, hormat menghormati dan ambil peduli apa yang berlaku. 

Setiap anggota masyarakat perlu proaktif dalam perkara ini dan memainkan peranan tanpa menunggu pihak kerajaan memulakan langkah atau melancarkan kempen.

Bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini mungkin boleh dijadikan titik permulaan untuk kita mengambil langkah pertama iaitu mengenali siapa jiran kita.

Mulakan dengan menghulur sepiring kuih, sebungkus makanan atau buah-buahan dengan iringan senyuman. Bukan besar sangat pun modalnya!

Tags / Kata Kunci: Ramadan , buka puasa

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan