Mohon Kerja Sektor Awam Melalui SPA, Bukan 'Datin Maimunah' - JPM

Diterbitkan: Khamis, 3 Julai 2014 11:41 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengingatkan orang ramai yang berminat bekerja dalam sektor awam supaya mengemukakan permohonan hanya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).


Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat JPM pada Khamis, sebarang pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam tidak menggunakan pihak ketiga mahupun mengenakan sebarang bayaran.

"Garis panduan permohonan pengisian kekosongan jawatan adalah berdasarkan Surat Pekeliling Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Bilangan 1 Tahun 2014 yang jelas menyatakan bahawa sebarang pengisian dalam perkhidmatan awam tidak menggunakan pihak ketiga mahupun mengenakan sebarang bayaran," menurut kenyataan itu.

Pemakluman itu dibuat berikutan aduan yang diterima JPM berkenaan penipuan yang dilakukan seorang individu melalui akaun Facebook yang didaftarkan atas nama 'Datin Maimunah', mengaku kononnya boleh membantu mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan kerajaan.

Datin Maimunah mengaku beliau bekerja di JPM dan boleh membantu untuk mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan kerajaan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM750 seorang, menurut JPM.
 
JPM berkata laporan polis telah dibuat semalam bagi mengelak penipuan itu berterusan selain memastikan tiada individu yang boleh menyalahgunakan nama jabatan berkenaan untuk mengelirukan orang ramai.

Orang ramai yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam boleh membuat permohonan kepada SPA secara dalam talian dengan melayari laman sesawang SPA di http://www.spa.gov.my, menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, mereka dinasihat membuat urusan permohonan perjawatan dengan SPA secara terus.

Sebarang pertanyaan permohonan boleh dikemukakan kepada SPA di talian 03-80056000 atau Bahagian Pengurusan Sumber Manusia bagi kementerian, jabatan atau agensi yang berkenaan di talian 03-80008000.
Tags / Kata Kunci: SPA , datin Maimunah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan