Khalid Mendahului Jawatan No.2 PKR

Diterbitkan: Khamis, 3 Julai 2014 9:19 AM

Abdul Khalid Ibrahim

Abdul Khalid Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kem calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa Menteri Besar Selangor itu kini mendahului persaingan merebut jawatan nombor dua dalam parti itu, walaupun gagal mempertahankan kerusi Ketua Cabang Kuala Selangor.

Sumber terdekat Khalid memberitahu The Star Online bahawa beliau kini mempunyai kelebihan berbanding Azmin Ali dengan memperolehi majoriti 700 undi untuk jawatan tersebut, selepas pemilihan baharu yang diadakan di beberapa bahagian.

Namun, kem Azmin menafikan jumlah majoriti undi tersebut dengan mendakwa Khalid berada di ambang kekalahan.

"Berdasarkan pengiraan kami, Khalid menerima lebih banyak undi di 11 cabang di Selangor, lima di Sarawak dan empat di Sabah. Di Sabah misalnya, beliau mendapat lebih 1,700 undi," kata sumber.

Setakat ini, PKR mengadakan pemilihan semula di 25 cabang dengan baki dua lagi cabang iaitu di Puchong dan Kelana Jaya akan diadakan pada 10 Ogos ini.

Pemilihan semula diadakan di 27 cabang kerana wujud pelbagai percanggahan dan penyelewengan dalam proses pengundian yang diadakan secara rasmi dari 26 April hingga 11 Mei lalu.

Menurut sumber tersebut, Khalid menang di Kota Raja, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Selayang, Subang, Kapar, Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Di Sabah, Khalid mendapat majoriti undi di Pensiangan, Keningau, Tenom dan Papar.

Sementara itu, undi di beberapa bahagian di Sarawak iaitu di Limbang, Julau, Kapit, Sarikei dan Batang Sadong turut dikatakan berpihak kepada Khalid.

Bagaimanapun, kem Azmin menegaskan Ahli Parlimen Gombak itu belum tewas tetapi sebaliknya memperkukuhkan kedudukan selaku pendahulu.

Menurut sumber yang enggan dikenali, Azmin menerima 20,351 undi manakala Khalid mendapat 15,767 undi sehingga 1 Julai.

Sementara itu, pencabar ketiga, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mempunyai peluang tipis untuk menang selepas sekadar memperoleh 9,590 undi setakat ini.

Keputusan itu tidak termasuk undi dari Subang, Sg Besar, Keningau, Pensiangan, Papar, Tenom, Kelana Jaya dan Puchong.

"Adalah tidak benar Khalid sedang mendahului. Walaupun terdapat undi dari beberapa cabang, ia masih tidak diambil kira, Azmin masih kekal mendahului," kata sumber dari kem Azmin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan