Editor Politik Akhbar NZ Puji Keputusan Malaysia Hantar Balik Rizalman

Diterbitkan: Khamis, 3 Julai 2014 9:51 PM

Rizalman

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang kolumnis akhbar New Zealand memuji Malaysia kerana 'melakukan perkara yang betul' apabila mengumumkan keputusan untuk menghantar kembali diplomat ke New Zealand bagi menghadapi tuduhan melakukan serangan seksual.

Audrey Young, editor politik akhbar 'The New Zealand Herald', berkata selama beberapa hari, timbul salah anggapan bahawa Malaysia dengan cepat membawa diplomat yang tertuduh itu keluar dari New Zealand dan menolak permohonan untuk membatalkan imuniti diplomatik diplomat itu.

Pihak Malaysia membuat keputusan itu berdasarkan pemahaman yang palsu, kata beliau dalam edisi online akhbar itu.

Semua itu dilakukan dalam keadaan kekaburan oleh seorang pegawai gred pertengahan di bahagian protokol di Kementerian New Zealand sehingga mendorong Malaysia percaya bahawa kerajaan New Zealand tidak membantah terhadap bentuk tindakan itu, katanya.

Young berkata sekarang Malaysia tahu bahawa semua itu adalah palsu lalu mengubah keputusan dan mengumumkan bahawa pegawai yang pernah berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington itu akan dihantar balik ke New Zealand.

Young berkata tindakan ini menunjukkan integriti.

Keputusan untuk menghantar balik Pegawai Waran II, Muhammad Rizalman Ismail, bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi yang dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol, diumumkan oleh Kementerian Luar Malaysia malam Rabu.

Kementerian itu berkata Malaysia menaruh keyakinan penuh terhadap sistem perundangan New Zealand dan mempunyai kepercayaan penuh bahawa tertuduh akan diberi layanan adil secara bermaruah seperti diperuntukkan di bawah undang-undang.

Young menegaskan bahawa ia terlalu jauh untuk menyatakan bahawa langkah itu telah memulihkan hubungan Malaysia dengan New Zealand kerana di peringkat politik, ia tidak terjejas.

"Hubungan Malaysia dan New Zealand semakin rapat sejak beberapa tahun kebelakangan: kedua-dua negara telah memeterai FTA (perjanjian perdagangan bebas) pada 2009, New Zealand menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur dan menjadikan hubungan rapat dengan Asean sebagai keutamaan di rantau itu," kata beliau.

Walaupun jika tertuduh tidak dihantar semula, Young berkata hubungan dua hala tidak akan terjejas kerana 'kekaburan dalam komunikasi berpunca daripada New Zealand.'
Tags / Kata Kunci: Audrey Young , Rizalman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan