Serangan Seksual: Wellington Puas Hati Komitmen Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 2 Julai 2014 7:44 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wellington berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia berhubung siasatan terhadap seorang pegawainya yang didakwa melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita pada Mei lepas.

Menteri Luarnya Murray McCully yang dipetik oleh laman sesawang rasmi kerajaan New Zealand www.beehive.govt.nz, mendedahkan beliau sudah berhubung dengan rakan sejawatannya, Datuk Seri Anifah Aman bagi memperjelas sebarang salah faham berkenaan diplomat terbabit.

"Menteri Luar Malaysia komited sepenuhnya untuk memastikan individu yang didakwa melakukan kesalahan itu menghadapi proses perundangan yang sewajarnya.

"Individu terbabit merupakan pegawai tentera dan Panglima Tentera Malaysia (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin) sudah menubuhkan Lembaga Penyiasat. Anifah juga memberi jaminan kepada saya sebarang bahan yang diserahkan oleh polis New Zealand akan dikemuka kepada Lembaga Penyiasat," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa diplomat yang berpangkat Pegawai Waran II dari Kementerian Pertahanan (Mindef) itu ditugaskan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk tempoh setahun.

Lelaki terbabit ditahan oleh polis New Zealand pada 9 Mei dan dihadapkan ke mahkamah pada hari berikutnya atas tuduhan pecah rumah dan melakukan serangan dengan niat merogol.

Bagaimanapun, Anifah dalam satu kenyataan di sini hari ini, mendedahkan tertuduh diberi kebenaran oleh Wellington untuk kembali ke tanah air dengan keluarganya pada 22 Mei.

Sementara itu, McCully berkata beliau menerima penjelasan Anifah bahawa keputusan Malaysia menolak permintaan New Zealand agar kekebalan diplomatik lelaki itu ditarik balik adalah disebabkan Panglima Tentera Malaysia mahu menanganinya mengikut proses perundangan di Malaysia.

"Kementerian Luar dan Perdagangan (MFAT) telah menyerahkan butiran komunikasi antara pegawai New Zealand dan Malaysia berhubung perkara ini.

"Walaupun permohonan rasmi itu jelas dalam memohon kekebalan diplomatik ditarik balik, akan tetapi saya dapati pegawai yang terbabit dalam komunikasi tidak rasmi berhubung isu yang sebenarnya satu kes yang kompleks, dibuat dalam cara yang menimbulkan kesamaran kepada kerajaan Malaysia," katanya.

McCully berkata apa yang boleh beliau katakan sekarang ialah tindakan Malaysia itu dibuat atas niat baik.

"Saya tekankan kepada rakan sejawatan saya dari Malaysia mengenai komitmen kerajaan New Zealand bagi mendapatkan keadilan untuk mangsa dalam kes ini dan rakan sejawatan saya memberi jaminan kerajaan Malaysia juga berkongsi pandangan sama," katanya.
Tags / Kata Kunci: Serangan Seksual NZ , Wellington

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan