Fahami Konsep Jihad Supaya Tidak Mudah Terpengaruh

Diterbitkan: Isnin, 30 Jun 2014 11:26 AM

Pemahaman salah mengenai jihad boleh membawa padah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu memahami konsep jihad supaya tidak mudah terpengaruh dan ditipu dalam keterujaan mereka mahu berjuang untuk mendapatkan pahala.


Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ramai memahami jihad dari pandangan orientalis yang mengaitkannya sebagai 'The Holy War', bermaksud menentang musuh bukan beragama Islam.

"Sebab itu jihad tidak sesuai untuk digunakan dalam konteks isu di Syria kerana melibatkan sesama Islam, dan adalah tidak adil untuk kita mengisytiharkan pihak yang ditentang sebagai bukan Islam," katanya semasa dihubungi Bernama, Isnin.

Beliau menambah perkara itu juga selari dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud 'apabila dua pihak Muslim bertemu (saling berbunuhan) dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka', memandangkan yang dibunuh turut berniat untuk membunuh, cuma tidak berpeluang terlebih dahulu.

Bagi mereka yang berpegang kepada alasan mahu menentang pemerintah yang zalim untuk berjihad di Syria, Mohamad Shukri berkata, perkara itu perlu dilihat dari konteks lebih mendalam pelaksanaannya.

"Jika perbalahan ini berlaku lebih lama, ia akan membawa kemudaratan lebih besar kepada penduduk di sana, khususnya kepada golongan wanita, kanak-kanak dan orang tua.

"Mengambil kira hal ini, kita boleh merujuk kepada pandangan bahawa apabila jika berlaku dua kemudaratan, maka kita perlu pilih yang mana lebih kecil kesannya, apatah lagi jika ulama di Syria sendiri telah meminta orang ramai untuk bersabar," kata Mohamad Shukri.

Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus, Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula berpendapat kekeliruan konsep jihad boleh mempengaruhi individu untuk terjerumus dalam kegiatan ekstremis.

"Umat Islam di negara ini perlu meningkatkan lagi kefahaman mengenai erti jihad untuk mengelakkan keliru sehingga menyebabkan mereka mengaplikasi konsep jihad pada landasan tidak tepat," katanya.

Menyentuh pembabitan beberapa individu Malaysia di Syria, Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berpendapat, terdapat cara lain untuk umat Islam di negara ini berjihad.

Mahmood Zuhdi berkata, ini kerana erti jihad adalah sangat meluas dan merangkumi pelbagai aspek termasuk pemikiran, tenaga, harta dan pendidikan.

"Di Malaysia juga boleh berjihad, walaupun caranya berbeza daripada pemahaman orang mengenai jihad di Syria. Sebagai contoh, umat Islam di sini boleh berjihad ekonomi kerana ekonomi kita masih lemah.

"Jihad untuk memupuk penyatuan antara ummah juga harus diberi tumpuan dan boleh dilakukan memandangkan perpaduan ummah di negara ini masih ada ruang untuk diperbaiki bagi melahirkan umat Islam yang mantap dan bersatu padu," katanya.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin secara peribadi juga berpendapat, umat Islam tidak seharusnya berjihad hingga ke Syria jika tidak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai situasi di sana.

"Mereka mungkin mengalami masalah seperti kekangan bahasa menyebabkan terpaksa bergantung kepada perantara dan jika individu itu berbohong untuk menarik simpati, maka kita sudah terpedaya," katanya.

Asri juga mengingatkan bahawa ulama di Syria yang menasihatkan umat Islam untuk tidak menyokong kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kerana ia membabitkan peperangan sesama Muslim, yang tidak selari dengan konsep jihad.

Beliau menambah, jika benar umat Islam mahu berjihad, mereka boleh melakukannya dalam isu yang lebih jelas seperti di Palestin, bukan hanya dari sudut tenaga, tetapi menghulurkan bantuan kewangan untuk masyarakat Islam di sana. 


Tags / Kata Kunci: jihad , Mufti Kelantan , Syria

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan