Diesel & Petrol Bersubsidi: Stesen Minyak Langgar Peraturan Disenarai Hitam Seumur Hidup

Diterbitkan: Ahad, 29 Jun 2014 9:09 AM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pengusaha stesen minyak yang didapati melanggar peraturan ditetapkan berhubung penjualan diesel dan petrol bersubsidi akan disenaraihitamkan seumur hidup, berkuat kuasa serta merta.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata dengan itu mereka tidak boleh lagi berurusan dengan pihak KPDNKK buat selama-lamanya dan tidak akan mendapat lesen baharu dan membuka syarikat baharu.

Beliau berkata kementerian turut akan membekukan lesen stesen minyak yang menyeleweng sehingga siasatan selesai dan diputuskan mahkamah.

"Sehingga kini, terdapat sembilan kes masih dalam siasatan dan dua stesen minyak di Kedah dan Kelantan telah dibekukan," katanya dalam sidang akhbar di sini, Sabtu.

Katanya kementerian memandang serius serta sentiasa mempergiat usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel serta petrol bersubsidi di pasaran bagi menjamin kepentingan dan kebajikan rakyat.

Berhubung Ops Titik bagi menangani penyelewengan diesel bersubsidi yang dilaksanakan sejak 15 Mei lepas, Alias berkata operasi itu akan diteruskan sehingga 31 Dis ini dan akan berasaskan mekanisme baharu yang dijangka dilaksanakan bermula September ini.

"Kita mendapati 30 peratus penambahbaikan dan pengaliran diesel subsidi dapat dikawal sejak operasi dua bulan lepas termasuk tidak wujud lagi lebihan stok dan bahan api itu yang tidak mencukupi," katanya.

Katanya Ops Titik setakat ini telah mempamerkan kesan positif dengan 178 kes dikesan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM9 juta.

Beliau berkata operasi bersepadu yang dijalankan pasukan petugas khas bersama-sama Pejabat Peguam Negara turut menyaksikan 170 akaun dibekukan oleh Bank Negara dengan nilai kewangan RM50.68 juta membabitkan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Tags / Kata Kunci: petrol , diesel , subsidi , stesen minyak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan