Liow Mula Tugas Sebagai Menteri Pengangkutan

Diterbitkan: Sabtu, 28 Jun 2014 5:54 PM

Liow Tiong Lai.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sehari selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Pengangkutan yang baharu, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini terus turun padang bagi memulakan tugas rasmi pertamanya.

Liow turut serta bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian Kompleks Parkir Bertingkat 'Park n Ride' Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang, di sini pagi ini.


Beliau bersama-sama Timbalan Perdana Menteri melawat kompleks tersebut dan beramah mesra dengan orang ramai yang menghadiri majlis itu.

Presiden MCA itu yang ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, jawatan menteri yang diberikan kepadanya merupakan satu tanggungjawab yang berat dan amat penting untuk membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memajukan negara.
 
"Saya memang telah bersama Perdana Menteri apabila beliau memperkenalkan pelbagai pelan transformasi tetapi pada masa itu saya adalah Menteri Kesihatan, dan sekarang saya berada di Kementerian Pengangkutan. Saya rasa misinya sama.

"Misinya adalah untuk menjayakan transformasi negara, oleh itu saya akan pastikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang telah ditetapkan Kementerian Pengangkutan dapat dilaksanakan dengan baik dan cepat," kata Liow.

Najib pada Rabu lepas mengumumkan pelantikan baharu lima wakil MCA dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dalam barisan jemaah menteri dan timbalan menteri termasuk menamakan Liow sebagai Menteri Pengangkutan.

Menyentuh jawatan baharu yang dipegangnya, Liow berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang sebelum ini memangku jawatan Menteri Pengangkutan, pada Isnin ini bagi berbincang tentang isu-isu berkenaan pencarian pesawat MH370.

Katanya, perbincangan itu akan melibatkan semua perkara termasuk tugas-tugas jawatankuasa yang ditubuhkan selain meningkatkan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang lebih tiga bulan lalu.
 
"Kami akan bincangkannya kerana seluruh operasi ada empat jawatankuasa daripada kementerian berbeza...jadi bukan semuanya daripada Kementerian Pengangkutan tetapi juga Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar," katanya.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal menuju Beijing, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal dengan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Liow berkata kementerian juga akan menjalankan siasatan berhubung kemalangan di tapak pembinaan projek aliran transit massa (MRT)
jajaran LRT Kelana Jaya, yang menyebabkan kecederaan kepada sepasang suami isteri.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan orang ramai dan tindakan tegas akan diambil jika kejadian itu didapati disebabkan oleh kecuaian pihak kontraktor.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, suami isteri tersebut, yang menaiki sebuah kereta, cedera apabila ditimpa bahan binaan LRT yang jatuh ke jalan raya di tapak pembinaan MRT, Jalan Lapangan Terbang Subang, dekat sini.

Tags / Kata Kunci: Liow Tiong Lai

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan