Dapatkan Sijil Halal Sebelum Promosi Bufet Ramadan - Jakim

Diterbitkan: Sabtu, 28 Jun 2014 1:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Dapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri terlebih dahulu sebelum pengusaha premis makanan atau hotel-hotel mempromosi juadah Ramadan mereka, nasihat Jakim.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata para pengusaha diingatkan agar tidak menggunakan ungkapan seperti 'Bufet Ramadan', 'Makanan Berbuka Puasa', 'Iftar Ramadan' atau 'Makanan Bersahur' sewenang-wenangnya yang boleh mengelirukan pengguna Islam.

"Ini kerana ungkapan-ungkapan tersebut termasuk dalam takrif halal dan perbuatan menggunakan ungkapan sedemikian dengan sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Oleh yang demikian, hanya premis yang mendapat pengesahan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri sahaja boleh menggunakan ungkapan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau juga menasihatkan para pengguna Islam supaya bijak memilih premis menawarkan bufet Ramadan yang diperakui halal oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri.

"Gunakanlah kuasa sebagai pengguna ini sebaiknya dalam memilih premis untuk tujuan berbuka puasa kerana premis yang menawarkan promosi bufet Ramadan dan telah mendapat pensijilan halal ini pastinya telah diperiksa dan dijamin pematuhan halalnya. Ini untuk mengelakkan daripada perkara yang was-was," kata Othman.

Sehubungan itu beliau berkata pada bulan Ramadan, pemantauan lebih tertumpu kepada restoran, premis makanan, dan hotel yang mengadakan promosi berbuka puasa bagi memastikan pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut benar-benar mematuhi keperluan perundangan.

Beliau juga menasihatkan premis dan hotel yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia supaya sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan kerana pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dijalankan.

"Sekiranya didapati mereka tidak lagi mematuhi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan, tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atas mereka tanpa kompromi," katanya.

Othman berkata permohonan pensijilan halal pada dasarnya bersifat sukarela dan sejak 2010 hingga Jun tahun ini, sebanyak 2,151 premis makanan, restoran dan dapur hotel telah mendapat sijil pengesahan halal Malaysia di seluruh negara manakala 358 lagi masih dalam proses untuk mendapatkannya.

"Dalam masa yang sama, sebanyak 351 premis makanan, restoran, dan dapur hotel gagal di peringkat permohonan atas faktor tidak menepati piawaian pensijilan halal Malaysia seperti ramuan kritikal yang tidak mempunyai sijil halal, masalah kebersihan, premis yang menyediakan menu tidak halal dan apa-apa yang diputuskan oleh Panel Pengesahan Halal Malaysia," katanya.

Othman menambah kata bahawa sebanyak 2,860 permohonan telah diterima daripada premis makanan, restoran dan dapur hotel dalam tempoh yang sama.

Berdasarkan statistik Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan yang menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan termasuk dapur hotel yang mengadakan promosi bufet Ramadan tahun lepas, Othman berkata empat premis telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Pengesahan Halal, manakala empat premis lain diambil tindakan serta disiasat di bawah APD 2011 dan tujuh premis diberikan amaran.

"Jakim masih memantau pematuhan APD 2011 di premis-premis ini selepas tempoh tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta berkenaan sekiranya masih ingkar," katanya.

Othman berkata maklumat premis makanan, restoran dan dapur hotel yang mempunyai sijil pengesahan halal boleh didapati melalui Direktori Halal Malaysia diwww.halal.gov.my.
Tags / Kata Kunci: Ramadan , Sijil Halal , Jakim

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan