Pemilihan PKR: Khalid Gagal Pertahan Jawatan

Diterbitkan: Khamis, 26 Jun 2014 1:00 PM

Abdul Khalid Ibrahim

Abdul Khalid Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor selepas tewas pada pemilihan semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu.

Calon Timbalan Presiden itu ditewaskan lawannya, S. Manikavasagam.

Abdul Khalid hanya meraih 515 undi, manakala Manikavasagam yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor mendapat 701 undi.

Bagaimanapun, difahamkan Abdul Khalid berjaya meraih undi tertinggi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan penyandang, Mohamed Azmin Ali di peringkat cabang berkenaan.

Sebelum ini Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menggantung keahlian Manikavasagam kerana mendakwa Abdul Khalid terlibat dalam politik wang namum menarik balik keputusan berkenaan.

Namun menurut sumber pejabat Menteri Besar, Abdul Khalid akan membuat bantahan terhadap keputusan yang belum diumumkan secara rasmi itu.

Sumber itu mendakwa wujud penipuan ketika proses pengiraan undi yang berakhir pada Rabu malam.

"Ada sebanyak 390 undi rosak bagi jawatan timbalan presiden, tapi Tan Sri (Khalid) tetap menang.

"Namun masalah timbul apabila dewan pusat pengiraan undi di Ibu Pejabat PKR blackout secara tiba-tiba selama dua jam ketika proses pengiraan undi bagi jawatan ketua cabang nak bermula," kata sumber yang enggan dikenali.

Tambah sumber itu, pihaknya terkejut apabila Abdul Khalid tewas hanya dengan 186 undi bagi jawatan ketua cabang walaupun menang bagi pemilihan timbalan presiden.

"Ia amat mencurigakan, malah kita dapati jumlah undi rosak bagi jawatan timbalan presiden yang sudah dikira awal juga berkurangan.

"Kita percaya wujud tindakan pihak tidak bertanggungjawab menukar kertas undi rosak kepada undi yang berpihak kepada Manikavasagam," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan