Kerajaan Kaji Beri Insenftif Untuk Lahir Banyak Anak

Diterbitkan: Khamis, 26 Jun 2014 2:24 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji cadangan untuk memberikan insentif kepada mereka yang melahirkan anak, seperti yang diamalkan beberapa negara termasuk Singapura, bagi memperlahankan penurunan kadar kesuburan negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia berikutan negara mengalami penurunan kadar kesuburan yang pesat pada masa ini, iaitu 2.1 anak pada tahun 2012 berbanding tiga orang anak pada tahun 2000.

"Ia sebagai pendorong untuk rakyat melahirkan lebih ramai anak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2014 di sini pada Khamis.

Dalam ucapannya sebelum itu Rohani berkata penurunan kesuburan itu disebabkan beberapa faktor termasuk melewatkan perkahwinan, peningkatan wanita dalam institusi pengajian tinggi dan pekerjaan yang melewatkan pembentukan keluarga serta masalah dan kos penjagaan anak.

Beliau berkata kesan utama penurunan tersebut adalah penguncupan tenaga buruh yang akan dialami negara dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang.

Justeru, katanya, kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk mengatasi masalah itu termasuk menyediakan waktu bekerja yang lebih fleksibel, penambahan cuti bersalin sektor awam serta penyediaan geran sebanyak RM200,000 kepada jabatan kerajaan untuk menubuhkan pusat penjagaan anak di tempat kerja.

Sementara itu Rohani berkata pelaburan terhadap 8.4 juta penduduk yang berumur 10-24 tahun pada masa ini seperti mempromosi gaya hidup sihat, menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan, dapat meningkatkan kualiti kehidupan generasi akan datang.

Ini kerana mereka merupakan dividen demografi kepada negara dan kemasukan mereka ke dalam tenaga kerja kelak akan menyebabkan tanggungan ekonomi semakin rendah, sekali gus membantu meningkatkan kadar pertumbuhanekonomi negara dan taraf kehidupan rakyat, katanya.

"Keadaan sebegini yang dikenali sebagai 'demographic window of opportunity' dijangka akan terbuka untuk tempoh 20-30 tahun sahaja dan peluang ini perlu dimanfaatkan oleh negara sepenuhnya," katanya.

Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2014 itu diadakan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun.


Tags / Kata Kunci: KPWKM , Singapura , Anak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan