El Nino: 300 Hutan Tanah Gambut Berpotensi Terbakar

Diterbitkan: Khamis, 26 Jun 2014 6:21 PM

(Ubah saiz teks)

TRONOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 300 lokasi hutan tanah gambut di seluruh negara berpotensi berlaku kebakaran sepanjang fenomena El Nino yang diramal melanda Asia Tenggara dari Jun hingga Disember ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Mahadi Md Ali berkata semua anggota JBPM telah diletakkan dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi situasi tersebut termasuk menempatkan pasukan khas di kawasan yang mempunyai potensi tinggi berlaku kebakaran.

"Kita ada 'water tanker' dan 'water carrier' dan kita telah membuka pusat gerakan bagi memastikan pemadaman dapat dijalankan selain memastikan unit udara (bomba) bersiap sedia," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Akademi Bomba dan Penyelamat Tronoh di sini pada Khamis.

Beliau berkata bagi operasi pemadaman itu nanti, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Saliran dan Pengairan.

Berhubung akademi itu, Mahadi berkata projek fasa pertama bernilai RM24.5 juta bermula 22 Feb 2012 dan siap sepenuhnya pada 12 Jun lepas.

"Fasa satu ini mempunyai bangunan pentadbiran, bilik kuliah, asrama, padang kawad dan fasiliti latihan keselamatan air. Akademi ini dapat menampung 60 pelatih di kawasan utara," katanya.

Katanya akademi baharu itu dapat memberi keselesaan, kesenangan dan semangat baharu kepada penghuni dan jurulatih yang ditugaskan untuk mengajar dan melatih para peserta kursus.

Beliau berkata JBPM akan memohon kepada kerajaan untuk membangunkan projek untuk fasa dua di akademi baharu itu bagi menyediakan fasiliti-fasiliti lain.



Tags / Kata Kunci: Bomba

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan