Bible Diserah Kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri - Mais

Diterbitkan: Rabu, 25 Jun 2014 10:36 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah menyerahkan kesemua kitab Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) Januari lepas kepada pihak Pendakwa Raya negeri untuk tindakan selanjutnya.


Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, beliau telah menulis kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri berhubung perkara itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan cadangan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum ini.

Minggu lepas Sultan Sharafuddin menitahkan supaya Mais menyelesaikan isu rampasan Bible itu mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.

Abdul Gani pula mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan membuat pendakwaan terhadap mana-mana pihak berhubung rampasan Bible itu dan kes berkenaan ditutup.

Katanya, Pejabat Peguam Negara telah meneliti fakta dan bukti yang terkandung dalam kertas siasatan berhubung rampasan itu dan memutuskan ia bukan tulisan yang diterbitkan mengikut Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Mohamad Adzib berkata, Mais akur dengan keputusan Peguam Negara itu dan kini menyerahkan kitab berkenaan kepada pihak Pendakwa Raya untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik.

"Sebenarnya kami berhak melupuskannya dengan sendiri. Tapi sebab kami pentingkan keadilan dan keharmonian, kami dah pulangkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dibawa balik ke mahkamah mengikut prosedur," katanya ketika menutup Konvensyen Pemerkasaan Ummah Peringkat Kebangsaan 2014 di sini, Rabu.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat rampasan itu mengikut undang-undang di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Pada 2 Januari lepas, Jais menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, di sini dan merampas 300 naskhah Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah 'Allah' di dalam Bible yang didakwanya bercanggah dengan enakmen itu.

Tags / Kata Kunci: Mais , Bible , PBM , Pendakwa Raya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan