Cuaca Kering, Tak Berawan Halang Pembenihan Awan

Diterbitkan: Selasa, 24 Jun 2014 10:11 PM

Proses pembenihan awan di Pangkalan Udara TUDM, Subang. -Gambar fail

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembenihan awan bagi mengurangkan jerebu di negara ini, terutama sekitar ibu kota, tidak dapat dilakukan berikutan cuaca yang kering dan tidak berawan.

Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) Jabatan Meteorologi Alui Bahari berkata setakat ini, walaupun keadaan jerebu dilihat semakin teruk namun pembenihan awan hanya boleh dilaksana jika terdapat awan yang sesuai.

"Sekarang keadaan kering disebabkan Monsun Barat Daya di mana udara pada musim itu sememangnya kering, jadi sukar untuk pembentukan awan berlaku.

"Sekiranya pembenihan awan dilakukan dalam keadaan yang tidak sesuai ketika ini, ia tidak akan berjaya," katanya kepada Bernama Selasa.

Beliau berkata bagaimanapun, pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa bagi menentukan masa terbaik untuk melakukan aktiviti pembenihan awan.

Mengikut bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di portal Jabatan Alam Sekitar setakat 4 petang ini, lima kawasan mencatat bacaan tidak sihat dengan Banting muncul yang tertinggi iaitu 126.

Empat lagi ialah Nilai, yang mencatat bacaan IPU 106, Pelabuhan Klang (108), Batu Muda (125) dan Putrajaya (112).
Tags / Kata Kunci: pembenihan awan , cuaca kering , jerebu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan