Polis Buru Kumpulan Jihad

Diterbitkan: Selasa, 24 Jun 2014 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mereka adalah rakyat Malaysia yang merupakan pengikut fahaman Jihad Salafi dan sedang menjalani latihan disediakan oleh Kumpulan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL), yang berusaha untuk menguasai sebahagian besar negara Timur Tengah itu.

Namun, kumpulan militan tersebut tidak hanya menjadikan Timur Tengah dalam perancangan mereka.

Malaysia boleh jadi negara sasaran utama mereka.

Mereka boleh menjatuhkan kerajaan dan membanteras sebarang bentuk pemerintahan sekular.

Mereka yang menyertai ISIL terdiri daripada kakitangan awam dan pelajar termasuk mereka yang belajar di sekolah pondok.

Antara yang terlibat adalah seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan pada minggu lalu.

Polis menyedari golongan ini boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan sedang memantau pergerakan mereka.

Kumpulan militan Jihad Salafi memperjuangkan apa yang mereka anggap sebagai ajaran Islam sebenar seperti yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.

Salaf bermaksud  golongan atau kaum terdahulu (nenek moyang) dalam bahasa Arab.

Kemunculan gerakan tersebut di Malaysia bertujuan untuk membebaskan negara ini daripada apa yang mereka anggap sebagai belenggu sekularisme.

Polis mendedahkan penyertaan kumpulan tersebut dalam latihan militan di ISIL berikutan tindakan membanteras gerakan militan antarabangsa yang merekrut ahlinya di Malaysia.

Rangkaian keganasan ISIL mengejutkan seluruh dunia kerana mereka melancarkan serangan maut yang disasarkan terutamanya kepada pengikut Syiah di Syria dan Iraq.

Seorang penduduk kelahiran Pahang menjadi pengebom berani mati pertama dari Malaysia yang maut di Iraq.

Suspek terkorban ketika membuat serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Walaupun ISIL dikatakan tidak menjadikan Malaysia sebagai sasaran, rakyatnya yang menjalani latihan militan ISIL mempunyai keupayaan pertempuran yang membolehkan mereka meneruskan agenda membasmi unsur-unsur sekular dalam sistem pentadbiran negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan mengesahkan usaha memburu militan yang dipercayai membabitkan rakyat di negara ini dalam latihan ISIL mendedahkan penglibatan pengikut fahaman Jihad Salafi.

"Menerusi hasil soal-siasat mendapati, ahli-ahli kumpulan militan ini merupakan pengikut Jihad Salafi.

"Mereka merasakan kerajaan Malaysia yang dianggap sebagai sekular boleh digulingkan menerusi perang jihad.

"Sepatutnya kita perlu bertindak sebelum sebarang ancaman dilakukan. Dibawah undang-undang sedia ada yang memerlukan bukti kukuh, kita hanya boleh bertindak berdasarkan mod reaktif tetapi kerosakan telah dilakukan," katanya.

Sumber mendakwa kemunculan militan boleh ditangani dengan lebih berkesan sekiranya undang-undang tahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih ada.

Dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang menggantikan ISA, polis harus mempunyai bukti kukuh sebelum membuat sebarang penahanan.

Dikhuatiri, ISIL mungkin menjadikan Malaysia sebagai sasaran mereka, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Isnin.

“Malaysia jadi sasaran,” tulisnya dalam laman Twitter.

Reaksi tersebut ditulis selepas beliau retweet kembali tweet @ulil: ISIS merancang untuk menguasai negara yang didiami majoriti penganut Islam dan membina khalifah ( ISIS plan to conquer lands hitherto populated by Muslim majority and build caliphate).

Tags / Kata Kunci: Jihad Salafi , militan , Malaysia , ISIL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan