Bekalan Barangan Kawalan Cukup, Jangan Ada Pembelian Panik

Diterbitkan: Selasa, 24 Jun 2014 8:26 PM

Datuk Seri Hasan Malek

(Ubah saiz teks)

KUALA PILAH: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata pembelian panik dalam kalangan pengguna tidak seharusnya berlaku kerana bekalan barangan kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini adalah mencukupi.

Hasan berkata jaminan itu diberikan pengilang ketika beliau bertemu mereka di kementeriannya minggu lepas.

"Wakil pengilang gula dan tepung juga memberi jaminan bahawa pengeluaran akan ditambah sebanyak 15 peratus," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Bazar Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Balai Raya Seri Jemapoh dekat sini Selasa.

Mengulas beberapa kes kekurangan bekalan minyak masak baru-baru ini, anggota Parlimen Kuala Pilah itu berkata wakil Persatuan Pekilang-Pekilang Minyak Masak Malaysia (MEOMA) memaklumkan bahawa ia berlaku kerana kuota bekalan berkurangan ekoran permintaan tinggi kerana cuti persekolahan yang panjang (dari 28 Mei hingga 14 Jun).

Bagaimanapun, katanya, kekurangan itu tidak membabitkan semua negeri.

Hasan berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telahpun meluluskan pertambahan kuota minyak masak sebanyak sepuluh peratus menjelang bulan puasa dan musim perayaan ini dengan mengguna pakai kuota bagi bulan September, Oktober dan November untuk Jun, Julai serta Ogos.

Beliau berkata kerajaan, menerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan terus memantau dan membendung kenaikan harga barang bagi mengurangkan beban rakyat.

Katanya, jika ada peniaga mengaut keuntungan melebihi yang sepatutnya, mereka boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sementara itu, Hasan berkata walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) semasa bagi Mei 2014 mencatat peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbanding Mei 2013 namun ia lebih rendah jika dibandingkan dengan bulan-bulan sebelumnya.

Beliau berkata IHP bagi Januari 2014 ialah 3.4 peratus, Februari (3.5 peratus), Mac (3.5), April (3.4) dan jika dibandingkan dengan negara lain, IHP Malaysia bagi bulan Mei 2014 masih rendah. 

IHP Indonesia ialah 7.3 peratus, Filipina (4.5 peratus) dan Vietnam (4.7).

"Di samping analisis harga barangan dan perkhidmatan menggunakan IHP, kementerian saya juga membuat perbandingan purata harga barangan ke atas 40 jenis barang terpilih yang dilakukan oleh pegawai pemantau harga.

"Senarai 40 jenis barang dianalisis terdiri daripada kategori basah (ayam, telur, daging, hasil laut, sayuran dan buah-buahan) dan kering (berbungkus, botol, tin dan pek)," katanya.

Hasan juga berkata IHP adalah satu indeks yang digunakan sebagai petunjuk bagi mengukur peratus perubahan harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan menggunakan wajaran ditetapkan berdasarkan tahun asas yang mewakili corak perbelanjaan sesuatu isi rumah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan