Minta Rasuah, Pegawai Kerajaan Dihadapkan Ke Mahkamah

Diterbitkan: Isnin, 23 Jun 2014 3:19 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan meminta suapan bagi projek kemasyarakatan bernilai RM18 juta.

Hazmi Samsudin, 39, yang bertugas di unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian berkenaan ketika kejadian, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Dia didakwa meminta suapan bagi projek kemasyarakatan 1Azam bagi menaik taraf dan membaik pulih balai raya, dewan masyarakat, surau dan masjid membabitkan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek hampir RM18 juta daripada seorang individu bernama Zainal Arifin Lahuri.

Ia sebagai dorongan untuk mendapatkan persetujuan ketua setiausaha KPWKM melantik kontraktor Kelas F tempatan untuk melaksanakan projek itu. 

Hazmi didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan PH 2, Putra Heights, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor, pada hujung 2010.

Pada 20 Jun lepas, Hazmi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesalahan memperoleh suapan membabitkan enam projek kerajaan dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM600,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Dia didakwa menerima sogokan antara RM98,455 hingga RM99,640.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad memerintahkan agar kes terbaharu yang dihadapi tertuduh dipindahkan ke Mahkmah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan kes pertamanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.


Tags / Kata Kunci: JKM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan