Kalimah Allah: Semua Pihak Perlu Akur Keputusan Mahkamah

Diterbitkan: Isnin, 23 Jun 2014 4:08 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua pihak perlu akur dan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin yang tidak membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' yang dirujuk sebagai Tuhan dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Pendapat tersebut disuarakan beberapa presiden badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir di Istana Kehakiman pagi ini bagi mendengar keputusan kes tersebut.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata masyarakat di negara ini tidak kira apa jua agama yang dianuti perlu menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Alhamdulillah panel yang dianggotai tujuh hakim dan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria itu membuat keputusan dengan majoriti 4-3 menolak permohonan gereja itu," katanya kepada pemberita di perkarangan Istana Kehakiman di sini pada Isnin.

Katanya dengan keputusan itu juga membawa implikasi bahawa tiada sebarang rayuan lagi yang boleh dilakukan selepas ini berhubung kes berkenaan.

Perkara yang sama turut diluahkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang berpendapat kes tersebut tidak harus dibangkitkan lagi.

"Kita bukan hendak bermusuh cuma hendak mempertahankan kalimah suci Allah dan berharap mereka menghormati agama kita seperti mana kita menghormati agama mereka," katanya.

Sementara itu, bekas anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin berkata keputusan itu juga mengukuhkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung rampasan kitab Bible versi Bahasa Malaysia pada 2 Jan lepas.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam berkata selepas ini, segala keputusan Jais sama ada untuk tidak memulangkan atau melupuskan kitab Bible tersebut boleh dirujuk kepada keputusan mahkamah.

Pada 2 Jan lepas, Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 naskhah Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Bukan Islam) Selangor 1988.


Tags / Kata Kunci: Mahkamah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan