Bukan Tugas Saya Buat Semua Orang Gembira - Khalid

Diterbitkan: Sabtu, 21 Jun 2014 3:36 PM

Abdul Khalid Ibrahim

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak bimbang dengan gesaan pelbagai pihak meminta beliau berundur kerana bukan tugasnya untuk membuat semua orang gembira.


Mengulas kenyataan pemimpin PAS negeri itu yang mahu beliau meletak jawatan kerana didakwa lemah dalam mengendalikan beberapa isu, Khalid berkata, rasa tidak puas hati itu sememangnya dijangka terutama berkaitan isu sensitif.

"Rasa tidak gembira dan tak puas hati adalah sesuatu yang biasa apabila berhadapan dengan isu sensitif, tetapi tugas saya bukan untuk memuaskan hati semua pihak, sebaliknya untuk pastikan semuanya berjalan lancar dan patuh kepada undang-undang.

"Ia situasi biasa dalam arena politik, malah kedudukan jawatan yang disandang juga tidak pasti tidak seperti mana saya terbabit dalam sektor korporat. Bagaimanapun, saya anggap ia sebagai cabaran dan tanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, sebuah portal berita melaporkan, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Sulaiman meminta supaya Khalid digantikan dengan pemimpin lain kerana beliau tidak meminta pandangan parti berkaitan isu penting di negeri berkenaan.

Antara isu yang diketengahkan adalah berkaitan rampasan kitab bible, masalah projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan isu air yang masih belum selesai.

Selain itu, Khalid berkata, kerajaan negeri, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan berpegang kepada titah Sultan Selangor berhubung isu rampasan bible itu serta bekerjasama untuk menyelesaikannya menggunakan saluran perundangan yang betul.




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan