Musim Panas Melanda, Jerebu Dijangka Kembali

Diterbitkan: Sabtu, 21 Jun 2014 10:38 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ibu kota dan beberapa buah negeri sehingga pukul 10 pagi berada dalam keadaan sederhana.

Bacaan IPU di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor mencatat 56 hingga 67 yang disebabkan habuk halus.

Kawasan Wilayah Persekutuan yang terlibat adalah Batu Muda, Cheras dan Putrajaya.

Manakala Selangor meliputi Banting, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya, dan Shah Alam.
|
Selain itu, lain-lain negeri yang mengalami IPU sederhana ini ialah Johor, Kelantan, Kedah,Negeri Sembilan (Nilai), Pahang dan Pulau Pinang yang mencatat jumlah bacaan 52 hingga 89. Sabah, Sarawak, Labuan, Kota Tinggi (Johor), Larkin Lama (Johor), Seremban dan Port Dickson berada dalam keadaan baik.

Malaysia dijangka berdepan dengan masalah jerebu berikutan musim panas yang sedang berlaku.

Jurucakap Jabatan Meteorogi, Dr Hisham Mohd Anip berkata, jerebu yang berlaku sekarang tidak terlalu serius dan berpunca daripada kilang serta kenderaan.

Beliau berkata, masalah itu dijangka berterusan kerana pemantauan pihaknya mendapati tiada hujan sehingga minggu depan, kecuali di beberapa tempat.

"Kita kini berada dalam musim monsun barat-daya, situasi normal di mana negara mengalami kekurangan hujan," katanya.

"Kebanyakan tempat di Semenanjung akan menerima hujan diantara 75 milimeter (mm) dan 150 mm bulan ini, iaitu 20 hingga 40 peratus kurang daripada biasa," katanya.

Kata Dr Hisham lagi, musim monsun barat-daya pada pertengahan bulan lepas akan berterusan hingga September dan ia memberi kesan panas, kurang hujan dan formasi awan yang kurang.

Tambahnya lagi, fenomena El-Nino pula dijangka berlaku di antara Jun dan Ogos di mana ia berterusan sekurang-kurang lima hingga enam bulan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati kerana musim panas ini boleh menyebabkan berlakunya kebakaran. Jabatan Penyelamat dan Bomba mendedahkan di laman web mereka, sebanyak 416 kes kebakaran berlaku setakat ini.

"Bagaimanapun bilangan titik panas (berdasarkan gambaran satelit) masih rendah.

"Pada Khamis, kami menemui dua lokasi panas di semenanjung dan Sabah, manakala sembilan lagi di Sarawak," jelasnya.

Imej satelit itu juga menunjukkan dua titik panas di Sumatera dan 26 di Kalimantan, Indonesia, namun Dr Hisham berkata, ia bukan punca kepada jerebu di Malaysia.

IPU yang dibaca pada petang Khamis menunjukkan kebanyakan tempat berada dalam keadaan baik. Bacaan IPU di antara 0-50 adalah baik, 51-100 sedarhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas - berbahaya.

Tags / Kata Kunci: jerebu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan