Tragedi Balik Kampung

Diterbitkan: Khamis, 19 Jun 2014 12:05 AM

Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa tongkang yang dipercayai membawa 97 penumpang pendatang tanpa izin yang karam di perairan Sungai Air Hitam berhampiran Pantai Kelanang di Kuala Langat pada Rabu. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pendatang asing tanpa izin (PATI) sentiasa balik ke negara asal mereka apabila bulan Ramadan hampir tiba atau semasa musim perayaan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Puzi Ab Kahar.

"Ia bukan sesuatu yang pelik apabila terdengar berita mengenai bot karam kerana bulan Ramadan dan musim perayaan hampir tiba.

"Kita akan meningkatkan pengawasan terutama pada waktu itu," katanya kepada The Star, Rabu.

Beliau berkata, sindiket juga licik dan sentiasa mengubah taktik mereka.

"Jika kami mengenal pasti kawasan panas tertentu, maka sindiket akan mengubah lokasi pelabuhan mereka untuk berlepas.

"Mana-mana bahagian perairan negara kita, sama ada laut atau sungai, boleh digunakan sebagai laluan tikus," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa perairan Malaysia yang luas dan adalah mustahil untuk mengawai semua aktiviti di laut.

Mohd Puzi berkata, amat penting bagi APMM untuk mempertingkatkan perisikan mereka tetapi untuk berbuat demikian, mereka memerlukan kerjasama daripada orang ramai.

"Kebanyakan sindiket perlu mengangkut PATI melalui kampung-kampung sebelum mereka sampai di jeti.

"Pergerakan seperti itu akan menimbulkan rasa curiga, jadi orang ramai perlu menghubungi pihak berkuasa secepat mungkin," katanya.

Sumber mendedahkan, setiap PATI akan dikenakan bayaran antara AS$200 dan AS$300 untuk 'laluan selamat' kembali ke negara asal mereka dari Malaysia.

Difahamkan beberapa penumpang dikenakan bayaran sebanyak AS$500 untuk pelayaran secara haram kerana terdapat beberapa PATI sanggup membayar tersebut kerana terdesak.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sindiket akan menjadikan PATI yang terdesak untuk pulang ke negara asal mereka sebagai mangsa.

"Sindiket ini akan menggunakan jeti yang ditinggalkan untuk memulakan perjalanan ke negara jiran.

"Kami turut mengenal pasti kawasan panas di sekitar negara yang digunakan untuk aktiviti pemerdagangan manusia," katanya.

Beliau berkata, sindiket ini akan menggunakan beberapa laluan tikus di seluruh negara untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Antara lokasi yang dikenal pasti adalah Batu Pahat, Pontian, Pengerang dan Muar di Johor, Kuala Langat, Sungai Kesang, Pulau Carey, Banting dan Tanjung Sepat di Selangor selain Port Dickson di Negeri Sembilan.

"Kami sedang meningkatkan kawalan keselamatan di setiap kawasan panas yang dikenal pasti," katanya.

Timbalan Komander Polis Marin Bukit Aman, (Operasi dan Risikan), Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, 'tekong' haram atau kapten bot juga akan berhenti di beberapa kawasan terpencil untuk mengelak dikesan.

"Mereka akan membahayakan nyawa termasuk anak-anak, hanya demi melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia.

"Salah satu cara adalah dengan melalui kawasan-kawasan sunyi," katanya.

Difahamkan bot membawa muatan berlebihan adalah sesuatu yang biasa bagi kes ini.

Kapten kebiasaannya akan memuatkan bot tersebut sehingga penuh sebelum berlepas.

Abdul Rahim berkata, dalam insiden terbaharu yang berlaku pada tengah malam Rabu, 97 PATI warga Indonesia yang menaiki bot tersebut sebelum karam di Sungai Air Hitam, Banting, membayar dengan kadar tambang yang tinggi.

"Siasatan awal mendapati penumpang membayar kepada kapten antara RM100 dan RM200 untuk kembali ke negara mereka," katanya.

Sehingga berita ini ditulis, 61 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Misi pencarian beberapa mangsa masih sedang dijalankan dan anggota bomba sedang memantau kawasan pantai.

Tags / Kata Kunci: bot karam , tekong haram , Ramadan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan