PAC Dakwa Kaedah Pengedaran Diesel Bersubsidi Banyak Kelemahan

Diterbitkan: Khamis, 19 Jun 2014 9:13 PM

Datuk Nur Jazlan Mohamed

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendakwa kaedah pengedaran minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mempunyai banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keadaan itu dilihat boleh membawa kepada banyak ketirisan sehingga berlaku penyalahgunaan diesel bersubsidi dan penyeludupan bahan itu.

"Sebagai contoh, sekarang mereka gunakan 'fleet card' yang diberikan kepada pengguna kategori tertentu yang boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan kad itu di stesen-stesen petrol.

"Tetapi, kad ini mungkin boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had dan ini menyebabkan pihak yang menggunakannya dapat menikmati diesel bersubsidi dengan lebih," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengenai perancangan kedua-dua kementerian itu untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dan penyeludupan diesel bersubsidi.

PAC memanggil kedua-dua kementerian itu berikutan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei lepas mengenai kes membabitkan pegawai penguat kuasa yang mempunyai jumlah wang yang banyak dalam akaun bank dipercayai hasil aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.

Nur Jazlan berkata PAC bagaimanapun tidak berpuas hati dengan penjelasan Alias hari ini berhubung perancangan KPDNKK untuk menangani masalah itu dan bercadang memanggil semula ketua setiausaha itu bagi memberi penjelasan lanjut.

PAC juga mahu mendapatkan penjelasan terperinci daripada kementerian itu berhubung kaedah penggunaan teknologi maklumat (IT) dan data dalam menjalankan penguatkuasaan.

"Jika mereka guna cara lama untuk membuat pengawasan berdasarkan aduan orang ramai dan menggunakan ramai pegawai penguatkuasaan, ini akan melibatkan belanja yang besar bagi membayar gaji dan kos operasi.

"Tetapi, jika ada penggunaan IT dengan cara mengumpulkan data kementerian, mungkin ini boleh merekod transaksi dan seterusnya mempunyai maklumat yang besar untuk membuat penguatkuasaan," katanya.

Pada sesi taklimat itu, PAC juga turut diberitahu mengenai penggunaan sistem teknologi nano bagi memantau pengedaran diesel bersubsidi yang dilaksanakan KPDNKK selama empat tahun sebelum ia diberhentikan.

Nur Jazlan berkata KPDNKK menjelaskan sistem itu terpaksa dihentikan berikutan kegagalannya mengesan diesel bersubsidi selain memerlukan kos tinggi untuk dilaksanakan.
Tags / Kata Kunci: PAC , subsidi , diesel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan