Perhimpunan Haram: Tiada Penjawat Awam Kena Tindakan - Berita Semasa | mStar

Perhimpunan Haram: Tiada Penjawat Awam Kena Tindakan

Diterbitkan: Rabu, 18 Jun 2014 6:49 PM

Tiada laporan diterima mengenai pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan awam. Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada penjawat awam dikenakan tindakan disiplin kerana kesalahan menghadiri perhimpunan haram anjuran pelbagai pihak sejak 2010 hingga 2013.


Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam tempoh berkenaan seramai 4,244 kakitangan awam dibuang kerja atas pelbagai kesalahan.

"Kesemuanya melibatkan kesalahan pelanggaran tatakelakuan, tidak hadir bertugas, kes mahkamah, kesalahan dadah dan bukan disebabkan kesalahan menghadiri sebarang perhimpunan haram," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin mengetahui jumlah penjawat awam yang dibuang kerja sejak 2010.

Turut ditanya mengenai jumlah penjawat awam serta tindakan terhadap mereka yang menyertai perhimpunan membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei lalu.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai penglibatan penjawat awam dalam perhimpunan tersebut.

"Walaupun terdapat dakwaan di media bahawa wujud penglibatan penjawat awam dalam perhimpunan membantah GST, namun sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan PDRM.

"Laporan ini penting bagi memastikan sebarang prosiding tatatertib yang akan dimulakan adalah berdasarkan fakta yang tepat dan dapat dibuktikan," katanya.


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan