Surat Tunjuk Sebab: Umno Kirim Ke Alamat Lama, Yammy Masih Belum Terima

Diterbitkan: Selasa, 17 Jun 2014 12:15 AM

Yammy Samat.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Isu surat tunjuk sebab yang masih tidak diterima Yammy Samat akhirnya terjawab apabila Umno didapati menghantar surat itu ke alamat rumah yang tidak didiaminya sejak 10 tahun lalu.

Mstar Online difahamkan, Umno Pusat mengirim surat itu ke alamat rumah lama Yammy, yang juga ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Alamat rumah lama Yammy diperoleh menerusi data dalam rekod keahlian parti itu.

Sehingga berita ini ditulis, Umno Perak memaklumkan mStar Online bahawa pihaknya akan berbincang dengan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Selasa berhubung perkara itu.

Ketika dihubungi, Yammy yang diberi surat itu kerana didakwa berkempen untuk calon DAP itu berkata, sehingga hari ke-13 iaitu sehari sebelum tarikh akhir surat itu sepatutnya dijawab, beliau masih belum menerimanya.

Malah, beliau mencabar Tengku Adnan untuk mengemukakan bukti bahawa beliau sudah menerima surat daripada parti itu seperti didakwa dan disiarkan media.

“Kenapa susah sangat untuk Umno nak serahkan surat tunjuk sebab itu kepada saya?

“Kalau betul Umno sudah hantar surat itu, kenapa saya masih tak dapat lagi? Saya kecewa bila dikatakan seolah-olah tidak menjawab surat itu, sedangkan surat itu pun saya belum terima. Saya cabar Tengku Adnan untuk kemukakan bukti yang saya sudah terima surat itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar pada Isnin mengenai Tengku Adnan yang dipetik sebagai berkata,  Umno belum menerima sebarang jawapan surat tunjuk sebab daripada Yammy.

Kata Yammy, beliau tetap menunggu surat itu kerana mahu mengetahui kandungan surat berkenaan dan seterusnya memberi penjelasan.

“Saya nak beri penjelasan kerana saya ada pendirian. Jangan hanya kata ada surat tunjuk sebab, tapi sampai sekarang saya tak terima.

“Perkara ini (isu surat tunjuk sebab) hanya mencalarkan imej saya. Saya perlu bersihkan imej saya dengan menjawab surat itu.

“Umno kena pastikan saya sudah terima surat itu sebelum nak cakap apa-apa,” katanya.

Tengku Adnan sebelum ini memaklumkan bahawa Umno sudah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy pada 3 Jun lalu dan memberi tempoh selama 14 hari yang berakhir pada Selasa untuk menjawab surat berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Shaarani Mohamad berkata, Umno negeri tidak tahu mengenai pertukaran alamat rumah Yammy itu.

Beliau berkata, Yammy sepatutnya memaklumkan kepada Umno mengenai alamat tempat tinggal baharu jika mahu menjawab surat tunjuk sebab itu.

“Dia (Yammy) hanya kata tidak dapat surat daripada Umno. Sepatutnya dia perlu memaklumkan mengenai alamat baharu supaya lebih mudah untuk kita menghantar surat itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, penyerahan surat berkenaan kepada Yammy di alamat baharu hanya akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Tengku Adnan pada Selasa.

“Kita (Umno Perak) boleh menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Yammy (di alamat baharu). Bagaimanapun saya tidak dapat serahkan surat itu esok sebab pagi-pagi lagi saya sudah ke Putrajaya,” katanya.

Ditanya adakah tempoh menjawab akan dilanjutkan mengikut tarikh sebenar surat itu diserahkan, Shaarani berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Tengku Adnan.

“Apa-apa keputusan pun (tunggu) sehingga saya jumpa Ku Nan (Tengku Adnan). Saya tunggu arahan dia,” tambahnya lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan