Laporan Audit: Felda Ditegur Tak Guna Sistem Tender Projek Lebih RM1 Juta

Diterbitkan: Isnin, 16 Jun 2014 6:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditegur apabila mengelak daripada menggunakan sistem tender dan pelawaan sebut harga bagi perolehan kerja atau bekalan yang melebihi RM1 juta.


Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan, pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu memecahkecilkan dua perolehan projek miliknya yang bertentangan dengan Peraturan Urusan Kontrak Felda.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, perolehan sempena sambutan Hari Peneroka 2011 berjumlah RM1.85 juta tidak dibuat melalui Jawatankuasa Tender Lembaga.

Malah, Felda turut menggunakan kaedah sama apabila melaksanakan perolehan kerja hiasan dalaman fasa satu Menara Felda bernilai RM3.65 juta melalui lima pakej yang berasingan.

"Bagi perolehan sambutan Hari Peneroka di Jengka, Pahang dipecah kecil kepada dua kontrak, masing-masing bernilai RM990,000 dan RM860,000," katanya pada Isnin.

Mengenai perolehan bagi kerja hiasan dalaman Menara Felda, semakan audit mendapati kesemua lima pakej yang dipecahkan daripada nilai asal ditawarkan kepada Naza TTDI Sdn Berhad dengan nombor kontrak yang berbeza.

"Selain itu, juru perunding bagi kerja-kerja berkenaan diarahkan oleh Felda untuk menyediakan pecahan harga bagi fasa satu kepada lima pakej tanpa mengubah amaun akhir yang ditawarkan oleh Naza TTDI Sdn Berhad bagi memudahkan proses kelulusan," katanya.

Menurut Ambrin, berdasarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5, 2009 menyatakan dengan jelas bahawa agensi kerajaan dilarang memecahkecilkan perolehan bekalan atau kerja.

Selain itu, kelemahan pengurusan kewangan Felda turut dikesan apabila agensi itu tidak menyediakan kontrak formal bagi 56 perolehan berjumlah RM183.13 juta.

"Sebanyak 53 daripada perolehan tersebut yang berjumlah RM165.65 juta dibayar tanpa perjanjian manakala tiga perolehan bagi tahun 2012 berjumlah RM17.48 juta masih belum dibayar," katanya.

Berdasarkan laporan itu lagi, turut didedahkan bahawa sebanyak 23 daripada 53 perolehan berjumlah RM19.93 juta dibayar berdasarkan pesanan pembelian yang diluluskan oleh Pengarah Tadbiran sahaja.

"Sebanyak 30 daripada 53 perolehan berjumlah RM145.72 juta dibayar hanya mempunyai Surat Setuju Terima (SST) dan pesanan pembelian...ini juga dibuat tanpa sebarang kontrak," katanya.

Tags / Kata Kunci: Felda , GLC , Laporan Ketua Audit Negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan