Kegiatan Militan Tidak Boleh Dibiarkan

Diterbitkan: Sabtu, 14 Jun 2014 2:51 PM

Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia tidak akan memandang ringan mana-mana percubaan untuk mencabar kedaulatan dan keselamatan negara.

Justeru, beliau meminta pihak berkuasa khususnya polis meneruskan usaha mencegah kegiatan militan daripada berleluasa di negara ini, dan mengelak daripada berulangnya peristiwa berdarah di Lahad Datu, Sabah.

"Berdasarkan peristiwa Lahad Datu kita tak boleh izinkan mana-mana pihak menceroboh atau buat sesuatu yang boleh menimbulkan masalah. Apatah lagi yang berbentuk terrorism.

"Kita tak akan biarkan. Kalau polis dah ambil tindakan dan menyiasat, itu kita serah kepada pihak berkuasa untuk teruskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Amal Bukit Damansara di Pusat Komuniti Bukit Damansara di sini, Sabtu. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sandakan, Sabah semalam dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman selepas disyaki terbabit dengan kegiatan militan. 

Suspek ditahan bersama dua lagi individu, dengan seorang daripadanya merupakan anggota kanan sel militan yang disyaki telah menjalankan latihan ketenteraan di kem milik Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina sejak 22 April lalu. 

Pihak TLDM hari ini mengesahkan penahanan anggotanya yang berpangkat Laskar Kanan. 

"Bagi negara, (penahanan) ini penting. Saya tak kira siapa, sama ada dia pegawai kerajaan, asalkan ada bukti kukuh bahawa mereka terlibat dalam kegiatan ini dan ada buktinya, tindakan pihak berkuasa perlu diambil dan tak boleh dipandang ringan," tegas Muhyiddin.
Tags / Kata Kunci: militan , terrorism

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan