Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Perkenal Kategori Hafazan

Diterbitkan: Jumaat, 13 Jun 2014 7:46 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa buat julung kalinya memperkenal kategori hafazan pada majlis yang berlangsung selama lima hari mulai Isnin depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, sebanyak 27 negara dijemput bagi kategori hafazan, kebanyakannya dari Timur Tengah dan Afrika.

"Malaysia diwakili johan lelaki dan wanita kategori 30 Juzuk Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-35 iaitu Mohd Ersyad Abdullah dari Kedah dan Norhaafizah Mohd Shafie dari Selangor," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Beliau berkata, bagi kategori tilawah, sebanyak 29 negara dijemput menyertainya manakala 20 lagi dijemput secara pilihan terbuka dan boleh memilih sama ada mengambil bahagian dalam tilawah atau hafazan.

"Bagi kategori tilawah, Malaysia diwakili johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 iaitu Ahmad Tarmizi Ali dari Terengganu dan Hanimzah Jalaluddin dari Pahang," katanya.

Secara keseluruhan, kategori tilawah membabitkan 38 peserta manakala hafazan 30 peserta.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijadual berangkat menyempurnakan acara perasmian dan penutupan acara tahunan itu.

Othman juga berkata, johan qari dan qariah kategori tilawah akan menerima jongkong emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Bagi kategori hafazan, johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM30,000 serta cenderamata dan sijil penyertaan.

Penganjuran tilawah peringkat antarabangsa kali ke-56 ini, yang bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' bertepatan dengan usaha kerajaan dalam mengamalkan pendekatan sederhana yang dilaksana Rasulullah SAW seperti termaktub dalam Piagam Madinah dan turut dipersetujui masyarakat bukan Islam.

"Ia menyerlahkan semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling memahami, saling bekerjasama dan hidup secara harmoni," katanya.


Tags / Kata Kunci: hafazan , Tilawah Al-Quran , Jakim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan