Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga Lebih Ketat Menjelang Ramadan - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 13 Jun 2014 11:46 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat terutamanya menjelang Ramadan dan Syawal, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
"Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba dan disusuli pula dengan Syawal, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meringankan beban rakyat melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga yang lebih ketat," kata Perdana Menteri dalam laman Facebook beliau hari ini. 

Najib turut berkongsi berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)
bertajuk "Kerajaan Laksana Pelbagai Program Bantu Rakyat Tangani Kenaikan Kos Sara Hidup - Muhyiddin" di laman Facebook dan Twitternya.

Menurut berita itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Sambil menempelak tuduhan pembangkang kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan telah banyak melakukan pelbagai program bagi meringankan beban rakyat termasuk melaksanakan Akta Kawalan Harga sebagai satu undang-undang yang melindungi kepentingan pengguna.
 
"Hanya Malaysia sahaja yang mempunyai undang-undang mengawal harga barangan keperluan dan makanan ini, terutama menjelang musim-musim kritikal seperti waktu perayaan," kata Muhyiddin selepas merasmikan Program Jom Bertani di Kampung Nyior Tujuh, Jerteh, Terengganu, semalam.

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menjamin daya saing global, Najib berkata kerajaan perlu bersungguh-sungguh mempertimbangkan dan melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat masyarakat supaya lebih tepat mencerminkan kesejahteraan sebenar negara.
 
"Malaysia menduduki ranking ke-56 daripada 156 negara dalam Indeks Kebahagian Dunia 2013 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
"Kemajuan mapan sesebuah negara dalam dunia global dan berdaya saing hari ini tidak boleh diukur semata-mata dengan prestasi KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) sahaja," katanya.

Perdana Menteri berkata pertumbuhan pesat Malaysia ke arah mencapai status negara maju mestilah selari dengan status kesejahteraan rakyat.
 
"Dalam penjelmaan intipati 1Malaysia, kita secara kolektif mesti memastikan semua rakyat Malaysia dapat maju bersama-sama dalam masyarakat yang saksama," katanya.

Tags / Kata Kunci: kawalan harga , Ramadan , Najib

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan