Tidak Perlu Saman, Analisis Air Akan Didedahkan - Khalid - Berita Semasa | mStar

Tidak Perlu Saman, Analisis Air Akan Didedahkan - Khalid

Diterbitkan: Khamis, 12 Jun 2014 10:03 PM

Abdul Khalid Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selangor akan mendedahkan kepada umum mengenai hasil keputusan kualiti air dari bekas lombang dan sungai bagi meredakan kebimbangan rakyat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, butiran mengenainya akan dimuat naik di laman web, Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS) minggu depan.

"Kami amat gembira untuk bersikap telus mengenai keputusan itu. Tiada keperluan untuk menyaman kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan  Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor sekiranya gagal mendedahkan laporan analisis kualiti air tersebut.

Khalid berkata ujian analisis dijalankan secara bebas oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Holdings Berhad dan Kementerian Kesihatan.

"Analisis tersebut bukan saja dari bekas lombong di Bestari Jaya tetapi dari 20 kolam termasuk air yang diambil dari sungai-sungai di sini untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi akan mengeluarkan kenyataan pada Jumaat berhubung hasil keputusan analisis air tersebut.

Katanya, LUAS juga akan mengadakan bengkel untuk pihak berkepentingan untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana air dianalisis.

"Dalam setiap bekalan air, walaupun air yang dirawat, terdapat kehadiran logam berat.

"Bagaimanapun, apa yang penting adalah sama ada pengesanan elemen berada pada tahap seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan