Tiga RUU Digubal Untuk Kekalkan Keamanan

Diterbitkan: Selasa, 10 Jun 2014 8:55 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga rang undang-undang (RUU) yang digubal jawatankuasa kerja Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) tidak menggugat kedudukan Islam dan peranan raja.

Malah RUU itu juga tidak akan mengurangkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, demikian menurut jawatankuasa kerja MKPN berkaitan undang-undang dan polisi.

Tiga undang-undang baharu yang dicadangkan bagi memberi laluan kepada pemansuhan Akta Hasutan itu ialah RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama; RUU Harmoni dan Rekonsilisasi Nasional; dan RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsilisasi Nasional.

Menurut pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa itu - Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Lim Chee Wee: "RUU ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak mengganggu, mengurangkan ataupun mempersoal mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah mereka, RUU tersebut yang sedang dalam pertimbangan MKPN bertujuan mengukuhkan perpaduan nasional.

Lim berkata demikian bagi mengulas mengenai isu yang dibangkitkan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Menerusi sidang media pada 5 Jun lalu, Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan MPM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menggesa kerajaan supaya mengkaji semula keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan berdasarkan perkembangan semasa.

Dakwa beliau undang-undang baharu itu nanti akan mengenepikan beberapa perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi asas pembinaan negara serta keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

Menurutnya, kandungan awal ketiga-tiga draf tersebut lebih menumpukan pada niat menjulang hak kesamarataan menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan namun gagal merujuk kepada fasal-fasal utama yang lain khususnya yang melibatkan Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perkara 3(1) dan Perkara 37(1), kedaulatan raja dan sultan dalam memelihara hak keistimewaan orang Melayu.

Bagaimanapun menurut Lim, draf undang-undang itu kini berada dalam peringkat perundingan awam dan akan dibincangkan secara mendalam oleh MKPN pada mesyuarat akan datang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan