Kes Rebut Anak: Polis Ambil Jalan Tengah

Diterbitkan: Selasa, 10 Jun 2014 1:45 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar membincangkan sesuatu dengan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib (kanan) sebelum mengadakan sidang media pada Selasa. Dalam sidang media itu, Khalid berkata tugas pemerintah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) akan dilaksanakan secara bergilir antara Polis Diraja Maysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai 1 Julai ini.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis mengambil jalan tengah dalam soal hak penjagaan anak yang membabitkan keputusan berbeza mahkamah syariah dan sivil.

Katanya bagi memastikan keadilan kepada yang terbabit, polis akan menempatkan anak berkenaan di pusat penjagaan kanak-kanak tanpa menguatkuasakan perintah mahkamah syariah atau sivil.

"Dengan cara ini masing-masing (ibu bapa) ada peluang untuk melawat anak mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan polis kontinjen Sabah dan ketua polis daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dua kes perebutan anak yang berlaku di Perak dan Negeri Sembilan.

"Saya telah mengarahkan ketua-ketua polis daerah (di kawasan berkenaan) untuk membuat rundingan dengan pihak berkaitan supaya anak itu ditempatkan di pusat penjagaan," katanya.

Bulan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan N. Viran atau nama Islamnya Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberihak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S. Deepa yang beragama Hindu.

Di Ipoh pula, guru tadika M Indira Ghandhi mendapat perintah mahkamah pada awal tahun ini untuk mendakwa bekas suaminya Muhammad Ridzuan Abdullah atau nama sebelum Islam, K. Patmanathan, kerana menghina mahkamah setelah gagal menyerahkan anak bongsu mereka, Prasana Diksa (Ummu Habibah), 6, kepada plaintif yang memenangi kes hak penjagaan anak, selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2010.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Abu Bakar (Karan Dinish), Ummu Salamah (Tevi Darsiny) dan Prasana kepada Mohd Ridzuan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan