Masyarakat Hilang Kepercayaan Jika Guru Salah Guna Laman Sosial - KP Pelajaran - Berita Semasa | mStar

Masyarakat Hilang Kepercayaan Jika Guru Salah Guna Laman Sosial - KP Pelajaran

Diterbitkan: Selasa, 10 Jun 2014 4:13 PM

Guru yang menjalankan tugas secara profesional dihormati ramai. Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Guru yang menyalahguna laman sosial dengan memuatkan unsur berbaur politik boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kerjaya perguruan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata, amalan tidak sihat itu juga boleh mencemarkan imej profesion perguruan kerana mengetengahkan diri secara berpihak menerusi laman sosial itu.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pendidikan mengingatkan setiap guru supaya bertindak secara profesional, berhati-hati serta berintegriti dalam penggunaan laman sosial untuk  mempertahankan prinsip neutral dan tidak memihak dalam perkhidmatan awam.

"Dalam hal ini, kementerian menerima aduan daripada pihak awam bahawa terdapat di kalangan guru yang menggunakan laman Facebook dengan memuatkan unsur berbaur politik.

“Oleh itu, guru sebagai penjawat awam hendaklah melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara tanpa sebarang unsur menyebelahi kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, Selasa.

Kementerian Pendidikan maklum akan penggunaan secara meluas media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan seumpamanya yang kini menjadi suatu kemudahan penting di kalangan rakyat Malaysia termasuk golongan pendidik.

Khair berkata, penggunaan kemudahan berkenaan digalakkan selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara, termasuk profesion perguruan, integriti perkhidmatan awam dan kerajaan. 

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan