Kerajaan Komited Pikul Tanggungjawab Sebagai Kerajaan Beramanah, Berakauntabiliti - PM

Diterbitkan: Sabtu, 7 Jun 2014 4:34 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Istana Negara, Sabtu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata kerajaan akan terus komited dalam memikul tanggungjawab sebagai kerajaan yang beramanah dan berakauntabiliti. 

Beliau berkata kejayaan negara selama ini bukanlah dicapai dengan mudah, dan kerana itu ia harus dijaga dan dipelihara sebaik mungkin bagi memastikan ia tidak disia-siakan. 

"Sememangnya pun, kejayaan kita selama puluhan tahun ini bukannya datang melayang-layang. Tidak juga tiba bergolek-golek antara kemilau senja dan terbitnya mentari pagi. Jika ia tidak dijaga, segalanya akan pergi sepantas kilat.

"Sebab itulah, Kerajaan Tuanku tidak akan sesekali membiarkan negara yang dibina dengan keringat dan jerih payah ini daripada dirosakkan oleh badai kepunahan, angkara mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena hari keputeraan rasmi Seri Paduka dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan di Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berkenan berangkat menghadiri majlis itu.

Najib berkata pentadbiran dan jentera kerajaan akan dipastikan berurusan secara muafakat, ganding-berganding, saling bahu membahu dan bukannya bekerja dalam 'silo' atau lohong masing-masing.

"Barulah dapat melayakkan negara ini kekal bertransformasi menuju gapura kemakmuran," katanya.

Menjelang sambutan ulang tahun ke-57 kemerdekaan negara, Perdana Menteri berkata, Malaysia hari ini bukanlah seperti sebelum ini kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi baik dari segi demografi, penzahiran dunia tanpa sempadan mahupun pelbagai peristiwa yang menggugat keharmonian negara. 

Bagaimanapun, katanya, Malaysia bertuah kerana terus aman dan harmoni, tetapi pada masa sama, demi perpaduan, kestabilan dan kepentingan ramai, rakyat negara ini perlu bersatu dan berpadu menolak sebarang bentuk kemelampauan yang mampu memecah-belahkan kesatuan sedia terjalin. 

Bahkan, kata Najib, sebarang usaha kerajaan akan terus memustahakkan pendekatan pembangunan secara inklusif sama ada di bandar mahupun luar bandar, berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan bagi membolehkan semua masyarakat di Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan Negara.

Menyembah maklum pembangunan semasa negara, Perdana Menteri antara lain menyentuh berkenaan Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 yang telah mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan negara pada 2013.

Najib turut memaklumkan bahawa negara turut mencatat rekod baharu bagi jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA sebanyak RM216.5 bilion tahun lepas. 

"Terbukti, ini satu pencapaian yang memberangsangkan meskipun dalam persekitaran luaran yang mencabar. Berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mantap, dengan izin Tuhan, kadar inflasi kekal berada tahap rendah iaitu sebanyak 3.5 peratus dan kadar pengangguran pula hanyalah sekitar 3.1 peratus," katanya. 

Turut dimaklumkan kepada Seri Paduka Baginda ialah berkenaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, yang telahpun mula beroperasi pada 2 Mei, dan projek Mass Rapid Transit (MRT) sebagai satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara yang mensasarkan 50 peratus penggunaan pengangkutan awam di Greater Kuala Lumpur Lembah Klang akan dicapai.

Dalam sektor pelancongan, Tahun Melawat Malaysia 2014, setakat Mac 2014 telah menarik 7.1 juta pelancong, berbanding 6.4 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus bagi jangka masa tersebut, kata Najib. 

Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula April tahun depan turut disentuh perdana menteri dengan memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah mempergiatkan usaha-usaha penerangan bagi memberi kefahaman yang betul kepada semua pihak tentang sistem percukaian itu. 

Menyentuh pencapaian ekonomi negara, Najib berkata secara keseluruhan kedudukan ekonomi berkembang baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini meningkat 6.2 peratus, walaupun realitinya negara turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia. 

"Terkini pula, Malaysia berjaya menduduki tangga ke-12 sebagai negara paling berdaya saing di dunia, berbanding tempat ke-15 pada tahun lepas, kata Najib. 

Perdana Menteri dalam ucapannya turut melafazkan komitmen kerajaan untuk berusaha gigih menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam progresif yang makmur lagi dinamik, berteraskan Maqasid Syariah dengan pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah.

Di peringkat serantau, kata Najib, selepas diberi penghormatan dalam memainkan peranan selaku negara pengantara bagi Perjanjian Damai Bangsamoro di antara Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF dengan Kerajaan Filipina, yang telah ditandatangan pada 27 Mac 2014, untuk menamatkan konflik berdarah selama berdekad-dekad, Malaysia pada tahun hadapan akan berperanan lebih aktif di sebelah Asia Tenggara ini, apabila Malaysia mempengerusikan Asean.

Menyentuh mengenai kunjungan rasmi Presiden Amerika Syarikat, April lepas, Perdana Menteri berkata kerajaan amat berbangga kerana dapat mempamerkan sebuah kontemporari Malaysia yang maju dan berwarna-warni.

"Barack Obama berasa teruja dan banyak memuji Malaysia, antaranya, beliau melihat kita sebagai sebuah negara Islam moden yang progresif. Turut dinyatakan, betapa pesat dan berdramatiknya Malaysia telah membangun dalam arus transformasi," sembah perdana menteri.

Mengenai lawatan rasmi beliau ke China meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, Najib menyifatkannya sebagai satu kunjungan yang berjaya.

"Perdana Menteri China Li Keqiang, telah menyebut bahawa hubungan Kuala Lumpur-Beijing adalah istimewa dan akan sentiasa diberi keutamaan. Malah, hubungan antara Malaysia-China sedang diangkat sebagai satu Perkongsian Strategik yang Komprehensif," katanya. 

Terdahulu di dalam ucapannya, Najib turut mengambil kesempatan merakamkan takziah dan rasa dukacita serta meminta sidang hadirin untuk bertafakur dan menghadiahkan al-Fatihah di atas kemangkatan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah pada 21 Mei dan kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 28 Mei lepas.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan