Akta Baharu Pantau Dana Politik Mungkin Dicadang

Diterbitkan: Sabtu, 7 Jun 2014 10:58 AM

Hisham Nordin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas berdepan masalah mewujudkan badan pemantau dana politik berikutan kurangnya kerjasama parti-parti politik, pihak Bidang Keberhasihan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah kini bercadang untuk mengkaji keperluan mewujudkan satu akta baharu untuk tujuan itu.

Badan itu berpendapat peruntukan undang-undang diperlukan untuk mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.

Pengarah NKRA Mencegah Rasuah Datuk Hisham Nordin berkata pihaknya sedang melihat kepada keperluan untuk mewujudkan akta baharu itu atau mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada di beberapa agensi kerajaan yang terlibat dalam penyeliaan parti-parti politik.

"Pihak kami juga bercadang untuk meneliti beberapa akta lain seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Akta Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), bagi melihat keperluan untuk mencadangkan pindaan-pindaan," katanya pada Sabtu.

Hisham berkata sama ada ia satu akta baharu atau pindaan kepada akta sedia ada, pihak NKRA Mencegah Rasuah berpendapat pemantauan dana politik hanya dapat dijalankan dengan berkesan apabila keperluan melaporkan sumber dana politik itu menjadi mandatori kepada semua parti politik.

"Contohnya parti politik perlu mengisytiharkan penerimaan dana terbabit kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan mengemukakan resit kerana ia merupakan peraturan yang dikeluarkan oleh ROS.

"Tapi kalau parti politik tidak mematuhi peraturan itu, ROS tidak boleh buat apa-apapun sebab ia hanya peraturan bukan akta. Jadi untuk lebih telus dalam dana politik, kena ada akta," katanya.

Hisham berkata parti-parti politik mungkin tidak bersedia untuk mendedahkan penyumbang dana politik masing-masing pada masa ini untuk menjaga kredibiliti seseorang pemimpin dalam parti berkenaan.

"Pandangan saya ialah pemantauan dana politik amat penting bagi menutup segala ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah. Oleh itu, setiap dana politik yang disalurkan perlu diaudit dan direkodkan bagi menunjukkan ketelusan parti itu," katanya.

Pada Februari 2012, melalui Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan inisiatif baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat penyalahgunaan dana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara Anti-Rasuah.

Najib berkata pembiayaan politik di peringkat pusat mahu pun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti bagi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik itu.

Mengenai penubuhan badan pemantau dana politik, Hisham berkata ia bukanlah satu perkara baru kerana ia telah dilaksanakan di luar negara seperti di Amerika Syarikat dan Perancis, yang menetapkan peraturan bahawa setiap sumbangan politik yang disalurkan perlu direkodkan.

Berdasarkan laporan kajian Barometer Rasuah peringkat nasional yang dilaksanakan badan bukan kerajaan (NGO) Transparency International Malaysia bulan lalu, parti politik menduduki tempat pertama sebagai institusi paling banyak mengamalkan rasuah di peringkat global.

Kajian rambang itu mendapati daripada 2,000 rakyat Malaysia yang menjadi responden, 45 peratus daripada mereka melihat parti politik mengamalkan rasuah tertinggi diikuti dengan polis (42 peratus).

Ia berbeza dengan Barometer Rasuah Global tahun lalu, di mana 78 peratus rakyat Malaysia percaya polis paling tinggi mengamalkan rasuah di Malaysia.

Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata statistik SPRM merekodkan 509 orang ditahan berkaitan gejala rasuah dan penyelewengan pada 2013 berbanding 701 individu tahun sebelumnya.

Orang awam merupakan tangkapan tertinggi iaitu 261 orang diikuti penjawat awam (176 orang), pegawai swasta (71) dan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan.


Tags / Kata Kunci: ROS , SPR , SPRM , Akta

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan