Rakyat Diminta Tangguh Hasrat Ke Libya

Diterbitkan: Jumaat, 6 Jun 2014 7:12 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diminta menangguhkan atau menjadualkan semula perjalanan yang tidak perlu ke Libya susulan konflik yang kini berlaku di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, berkata Wisma Putra sedang memantau secara dekat situasi di negara berkenaan menerusi Kedutaan Malaysia di Tripoli.

Kerajaan Malaysia sangat bimbang dengan konflik dan pergolakan politik yang berlaku di Libya sekarang, katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat 24 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di sana.

"Kesemua mereka dilapor selamat. Mereka sudah dinasihatkan agar mematuhi segala garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Tripoli dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Anifah berkata Malaysia juga berharap semua pihak bertelagah dapat menyelesaikan konflik secara baik serta menggesa mereka agar tidak menggunakan keganasan.

"Malaysia berpandangan pihak berkuasa Libya perlu berbincang secara serius dengan semua yang terlibat bagi tujuan perdamaian dan menggubal penyelesaian untuk menamatkan konflik," katanya. 


Tags / Kata Kunci: Libya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan