Pembangunan KL Sentral Naik Taraf Pengangkutan Awam Bandar - PM

Diterbitkan: Jumaat, 6 Jun 2014 8:46 AM

Najib meninjau pelan pembangunan Stesen Sentral Kuala Lumpur semasa mengadakan lawatan di Kuala Lumpur, Khamis. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, fasa terkini pembangunan di KL Sentral adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam bandar. 

Najib, dalam catatan di laman Facebook beliau pada Khamis, berkata ia sejajar Program Transformasi Kerajaan 2.0 yang menyaksikan kerajaan akan meneruskan usaha menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Dalam catatan itu, Perdana Menteri turut memuat naik sebuah ilustrasi berkaitan informasi mengenai KL Sentral termasuk ia merupakan stesen rel terbesar di Asia Tenggara.

Selain itu, KL Sentral merupakan satu fasiliti bertaraf dunia dianggarkan bernilai RM11.7 bilion, yang merangkumi Stesen Sentral, menara pejabat korporat, hotel antarabangsa bertaraf lima bintang, kompleks beli-belah, pusat perniagaan dan kondominium mewah.

Dalam pada itu, kesemua 37 set enam gerabak yang ditempah untuk KTM Komuter telahpun memulakan perkhidmatannya dan berjaya mengurangkan tempoh menunggu daripada 45 minit kepada 15 minit pada waktu puncak.

Perdana Menteri melawat KL Sentral tengah hari Khamis bersempena ulang tahun ke-13 pembukaannya. 

Ketika ini, Stesen Sentral memberi khidmat kepada 160,000 orang setiap hari termasuk mereka yang berulang alik dan sejumlah besar pelancong, sehingga mencapai kira-kira 58.4 juta pengguna setahun.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan