PM Lancar Skim Pembiayaan Mikro Untuk Peniaga Bulan Ramadan

Diterbitkan: Khamis, 5 Jun 2014 12:15 PM

Najib melancarkan Skim Bazar Ramadan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Khamis.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis melancarkan skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan dengan peruntukan RM45 juta bagi memberi kemudahan pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil sempena bulan Ramadan.

Pada majlis pelancaran skim itu di sini, perdana menteri berkata skim pembiayaan mikro tanpa faedah itu diuruskan Bank Rakyat, memberi pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil sehingga RM3,000 sebagai modal perniagaan.

Beliau berkata penyaluran pinjaman yang diluluskan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum Ramadan. 

Tempoh bayaran balik pula ialah 50 peratus dijelaskan sebelum tamat bulan Syawal sementara bakinya sebulan selepas Syawal, katanya.

"Mudah-mudahan skim ini akan mendapat sambutan hangat dan menyediakan peluang perniagaan kepada penjaja dan peniaga kecil, serta memberi kesan positif," katanya.

Najib berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak, terdapat lebih satu juta penjaja dan peniaga kecil berdaftar di seluruh negara sehingga 30 April tahun ini.

"Sektor ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sosioekonomi negara. Masyarakat bandar mahupun luar bandar banyak bergantung kepada perkhidmatan ditawarkan penjaja dan peniaga kecil dalam menyediakan kepelbagaian termasuk harga berpatutan," katanya.

Perdana menteri berkata bagi penjaja dan peniaga kecil, aktiviti perniagaan yang mereka jalankan adalah untuk jaminan sara hidup dan apabila bulan Ramadan, ia memberi peluang untuk menambah sumber pendapatan mereka.

Bagi golongan profesional dan pekerja separuh masa, bulan Ramadan juga membuka peluang untuk golongan itu memperoleh pendapatan sampingan dengan berniaga di pejabat dan tapak-tapak yang disediakan, katanya.

 "Saya harap yang bekerja sepenuh masa janganlah ponteng kerja pula.

 "Yang berniaga, tawarlah dengan harga berpatutan. Biarlah rezeki yang kita peroleh itu berkat," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan Datuk Mohamad Mahmod berkata sekiranya skim itu mendapat sambutan yang menggalakkan, kerajaan diharapkan dapat mempertimbang untuk melanjutkannya ke tahun-tahun hadapan.

 "Terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat dan memberi respons terhadap keperluan penjaja dan peniaga kecil," katanya.

Beliau menggesa penjaja dan peniaga kecil segera mengambil peluang memohon skim pembiayaan itu.

Permohonan terbuka kepada semua penjaja dan peniaga kecil melalui persatuan penjaja dan peniaga kecil di daerah dan negeri di seluruh negara, katanya.


Tags / Kata Kunci: PM , Mikro i-Bazar Ramadan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan