Jais Tak Patut Serbu Majlis Kahwin Di Kuil - Tun M - Berita Semasa | mStar

Jais Tak Patut Serbu Majlis Kahwin Di Kuil - Tun M

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 6:31 PM

Tun Dr Mahathir menyampaikan Syarahan Perdana Presiden UIAM bertajuk "Contemporary Islamic Lifestyle:Fitting in or Taking the Lead", Rabu.

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, sebagai pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memang berhak menyiasat agama seseorang, tetapi tidak patut menyerbu majlis perkahwinannya.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan Jais merujuk kepada al-Quran kerana di dalam kitab suci itu terdapat banyak larangan berhubung tindakan terhadap seseorang yang tidak mengaku beragama Islam.

"Kamu (Jais) boleh menyiasat, tapi tidak boleh menghalang orang berkahwin. Apabila kamu menghormati agama orang lain, orang agama lain juga akan menghormati kamu.

"Saya ingin mencadangkan supaya mereka (Jais) kembali kepada al-Quran dan tidak membuat tafsiran sendiri (mengenai ayat al-Quran)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Contemporary Islamic Lifestyle: Fitting In or Taking the Lead' dalam Siri Syarahan Perdana Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai tindakan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, Selangor Ahad lepas.

Jais mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. 


Tags / Kata Kunci: Tun Dr Mahathir Mohamad , Jais
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan