Cukai: Kemuka Rayuan Sebelum 16 Jun - LHDN

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 12:55 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seramai 156,158 pembayar cukai dengan jumlah tunggakan keseluruhannya hampir RM418 juta boleh mengemukakan rayuan sebelum 16 Jun ini.

Rayuan itu boleh dikemukakan penerima notis CP38 iaitu potongan cukai tambahan secara ansuran atau pembayar cukai yang rasa terbeban dengan bilangan ansuran yang ditetapkan.

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Masrun Maslim berkata, tarikh itu ditetapkan kerana ia sebelum notis arahan CP38 mula dikeluarkan kepada majikan.

Beliau berkata, pembayar cukai boleh membuat rayuan dengan menghubungi atau hadir ke kaunter LHDN, selain menghubungi talian 1-800-88-5436 untuk uruskan fail cukai mereka.

"LHDN sedia berbincang untuk memanjangkan tempoh dan jumlah ansuran dibayar dengan syarat mereka mengemukakan penyata gaji bulanan terkini, kiraan perbelanjaan bulanan serta alasan untuk dipertimbangkan," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda yang mahu LHDN mengeluarkan Arahan CP38 bermula 16 Jun ini sebagai tidak kena pada masanya dan hanya menambah beban kepada penjawat awam.

Kesatuan itu menganggap kaedah Pemotongan Cukai Berjadual (PCB) sedia ada sudah cukup memberi tekanan kewangan kepada kumpulan pekerja ini yang menjangkau 1.4 juta orang.

Masrun berkata, Arahan CP38 adalah prosedur biasa LHDN untuk mengutip tunggakan cukai daripada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan penggajian.

"Langkah ini sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi, cuma kali ini kami keluarkan makluman umum supaya pembayar cukai yang merasakan masih ada tunggakan cukai dapat bersedia menerima notis CP38," katanya.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan pembayar cukai supaya menggunakan saluran komunikasi yang betul untuk berbincang mengenai arahan CP38 itu.


Tags / Kata Kunci: CP38 , LHDN , Masrun Maslim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan