PKS Dapat Baucar RM1,000 Beli Perisian GST

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 4:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Rabu mengumumkan pemberian e-baucar bernilai RM1,000 bagi pembelian pakej perisian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berharap setiap PKS akan mengambil peluang yang disediakan kerajaan bagi mengemas kini sistem perakaunan dalam memastikan perlaksanaan GST berjalan lancar.

"Baucar ini lebih mudah, cepat dan efektif bagi PKS untuk membeli atau menaik taraf perisian GST.

"Apa yang perlu dilakukan ialah pemohon boleh membuat permohonan e-baucar itu secara dalam talian yang boleh digunakan untuk membuat pembelian perisian daripada pembekal yang mengambil bahagian," katanya.

Perdana Mengeri berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Smidex 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Tambah Najib, pemberian baucar itu juga merupakan sebahagian daripada insentif kerajaan untuk memastikan transisi GST berjalan lancar terutamanya di kalangan PKS.

"Ini termasuk bantuan kewangan dan pengecualian cukai untuk membeli perisian dan peralatan berkaitan GST," katanya.

Sebelum ini kerajaan memperuntukan dana sebanyak RM250 juta, di mana RM100 juta untuk memberi latihan kepada PKS manakala RM150 juta lagi untuk mengemas kini perisian perakaunan mereka.

GST akan dilaksanakan bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus.

Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa SME Corp akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti untuk mewujudkan Platform Dagangan Tidak Tersenarai Malaysia (MyULM), yang akan memudahkan peluang pembiayaan untuk PKS.

Najib berkata kerajaan perlu menggalakkan pertumbuhan dan peluasan PKS menerusi pasaran modal, dengan peserta kecil mendapati cabaran besar untuk memasuki pasaran modal secara rasmi berikutan pelbagai syarat, selain kos yang tinggi untuk penyenaraian.

"Bagi memudahkannya, tahun lepas Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan MyULM, bagi menyediakan akses kepada modal dan maklumat bagi memudahkan transaksi," katanya.

Tags / Kata Kunci: GST , e-baucar , Perdana Menteri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan