Pesawat China Airlines Ditunda Akibat Masalah Radar - Berita Semasa | mStar

Pesawat China Airlines Ditunda Akibat Masalah Radar

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 9:35 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sebuah pesawat China Airlines, CI0732, yang sepatutnya berlepas ke Taipei dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini, pukul 5.10 petang Rabu ditunda sekali lagi berikutan masalah teknikal pada sistem radar.

Pegawai Trafik China Airlines, Lee Wei Lin berkata pesawat yang membawa 150 penumpang itu sepatutnya berlepas pukul 10.30 malam semalam dan kesemua mereka sebelum ini ditempatkan sementara waktu di sebuah hotel di sini.

"Pihak kami sedang berusaha memperbaiki keadaan dan sebarang perubahan waktu penerbangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi.

Seorang penumpang Tye Ee Houng, 27, berkata beliau telah mendaftar masuk bagasinya ke dalam pesawat berkenaan dan pada mulanya diberitahu penerbangan mereka dilewatkan dari pukul 5.10 petang kepada pukul 6.30 petang.

"Tetapi maklumat terbaru yang kami terima waktu penerbangan diubah pada pukul 7.30 petang. Saya juga tidak pasti dan kami masih diminta menunggu," katanya.

Beliau yang merupakan seorang guru akan bercuti di Taipei selama seminggu dan tidak berhasrat membatalkan tiket penerbangan itu.
Tags / Kata Kunci: China Airlines
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan