Presiden, Setiausaha Kerja Umno Fail Saman Terhadap Malaysiakini

Diterbitkan: Selasa, 3 Jun 2014 4:02 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua editor dan ketua pengarang laman web portal Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel bulan lepas. 

Writ saman difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada Jumaat lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dan pihak media memperoleh writ saman itu pada Selasa.

Najib dan Ab Rauf menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini.com Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan telah melaporkan, mengeluarkan dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan yang bertajuk 'A case of the PM reaping what he sows' dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu?'.

Kedua-dua artikel fitnah itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lalu.


Tags / Kata Kunci: saman , Malaysiakini , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan