Pasangan Pukul Anak Di Sweden Dibebaskan Julai Dan September Ini - Berita Semasa | mStar

Pasangan Pukul Anak Di Sweden Dibebaskan Julai Dan September Ini

Diterbitkan: Selasa, 3 Jun 2014 11:30 PM

shalwati

Azizul Raheem Awaludin (kanan) dan isterinya, Shalwati didakwa mendera anak-anak mereka oleh Mahkamah Daerah Solna, Mac lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasangan warga Malaysia yang didapati bersalah memukul anak-anak mereka di Sweden masing-masing akan dibebaskan pada Julai dan September ini.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebook miliknya yang kini berada di Sweden.

Dalam lawatan ke penjara Anstalten Hinseberg yang perjalanannya mengambil masa selama tiga jam dari Stockholm, Musa berkesempatan bertemu dengan Shalwati Norshal, isteri kepada Pengarah Tourism Malaysia di Stockholm, Azizul Raheem Awalluddin.

Menurut Annuar, Shalwati dipindahkan ke Anstalten Hinseberg dari penjara Stockholm.

"Pegawai penjara amat baik tetapi tegas... pemeriksaan dokumen dan badan agak ketat. Hanya tiga orang di benarkan masuk. Alhamdulillah, kira kira pukul 1.25 petang kami dapat bertemu Puan Shalwati dan menghabiskan waktu berbual dan bertanya khabar hingga pukul 3 petang," katanya.

Annuar berkata Shalwati berada dalam keadaan sihat dan gembira mendengar berita keluarga dan anak-anaknya di Kelantan.

Beliau turut memberitahu anak-anak Shalwati tinggal dalam kawasan Parlimen Ketereh.

“Insyallah, suaminya akan dibebaskan pada Julai manakala Shalwati pada akhir September ini," katanya.

Annuar turut mendoakan pasangan tersebut tabah menghadapi hukuman di perantauan dibawah undang-undang Sweden yang agak asing dan berbeza dari Malaysia.


Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa atas pelbagai pertuduhan mencabul integriti kanak-kanak dengan cara memukul dan mendera anak-anak mereka.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di kediaman mereka di Spanga, di pinggir bandar Stockholm di antara 15 September 2010 dan 17 Disember tahun lalu.

Perbicaraan di mahkamah itu bermula pada 18 Februari dan berakhir pada 14 Mac lalu.
Tags / Kata Kunci: Shalwati , Azizul Raheem , Sweden , dera
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan