Lawatan Ke China Berjaya, Istimewa - PM

Diterbitkan: Ahad, 1 Jun 2014 1:26 PM

Majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China berlangsung dengan meriah di Beijing, pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasminya ke China kali ini amat berjaya, dan pemimpin tertinggi China menganggap hubungan dengan Malaysia sebagai sesuatu yang istimewa.

"Saya anggap lawatan rasmi saya ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China ini mendapat sambutan begitu menggalakkan sekali. Hasil lawatan saya anggap amat berjaya," katanya pada sidang media sebelum berlepas pulang ke Malaysia.

Najib berkata, dalam pertemuan dengan Presiden, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang, kedua-dua pemimpin utama negara itu menegaskan bahawa hubungan China dan Malaysia adalah penting dan mereka menganggap ia sesuatu yang istimewa.

"Mereka beri keutamaan yang tinggi kepada hubungan antara China dan Malaysia," kata beliau.

Menurut Najib, dengan komitmen yang diberi beliau optimis dan yakin masa depan hubungan China dan Malaysia cerah sekali dan akan terus dilonjakkan ke tahap kejayaan yang lebih besar.

Malah, kata beliau, layanan yang diberi amat mesra dan Li yang sepatutnya menghadiri satu majlis di luar Beijing, telah menjadual semula untuk hadir pada sambutan ulang tahun itu di Great Hall of People yang merupakan cuti umum sempena Festival Perahu Naga.

Ditanya perasaan beliau apabila menghadiri majlis sambutan ulang tahun di tempat dan tarikh sama bapa beliau yang juga Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein menandatangani perjanjian yang membolehkan hubungan diplomatik dijalin dengan China, Najib berkata, beliau begitu emosi sekali.

"Saya rasa begitu emosi atas dua perkara...satu signifikan majlis ini dibuat di tempat sama 40 tahun dulu. Dan kedua sorotan kembali, lihat suasana di rantau ini ketika perang dingin, ancaman komunis di Malaysia ketika itu dan keadaan ramai yang sangsi dengan hubungan Malaysia-China," katanya.

Walaupun berdepan pelbagai halangan, Najib berkata, beliau dapat membayangkan bagaimana sukarnya bagi bapanya membuat keputusan ketika itu yang kini jelas ia adalah keputusan yang tepat.

"Apa yang dilakukan pemimpin dulu telah meletakkan asas yang kukuh. Hubungan ini mantap walaupun berlaku masalah, termasuk isu MH370. Melihat 40 tahun akan datang, atas asas ini, hubungan ini akan membawa kemajuan lebih besar," katanya.

Dengan keyakinan tersebut, Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah susulan untuk menjayakan semua ketetapan dan persefahaman yang dicapai, kata Najib, yang turut melawat bandar raya purba Xi'an sebelum ke ibu negara ini.

Bagi membolehkan tindakan lebih tepat dari segi masa dan keberkesanannya, Najib berkata, beliau memutuskan untuk  menubuhkan sebuah jawatankuasa khas.

Katanya, jawatankuasa ini akan memantau dan mengambil semua tindakan susulan supaya sebarang permasalahan, rintangan dan hambatan dapat diatasi dengan lebih tepat dan pantas.

Najib berkata, ia adalah jawatankuasa dalam kerajaan dan kementerian berkaitan akan dipelawa menyertainya bagi menghadiri mesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Ini melibatkan banyak kementerian dan mustahak bagi kita mengetahui apa yang dilakukan pihak yang satu lagi dan menyelaraskan semua tindakan yang perlu dengan segera supaya ada momentum baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China," katanya.

Najib juga berkata, walaupun kedua-dua negara mempunyai perbezaan pendapat tentang beberapa isu, China menyatakan mereka menyenangi pendekatan dan cara Malaysia menanganinya, khususnya isu Laut China Selatan.

"Kita tak bersikap konfrontasi, kita pilih berbincang. Kita anggap isu sensitif dapat ditangani dengan rasional dan tenang, bukan cara yang sensitif. Cara kita ambil masa tapi jelas bukan hambatan pada hubungan," katanya lagi.

Ditanya sama ada China ada meminta bantuan Malaysia untuk menjadi orang tengah dalam pertelagahan dengan Filipina dan Vietnam berhubung isu Laut China Selatan, Najib berkata mereka belum sampai ke tahap itu.

Katanya, sebagai bakal Pengerusi Asean pada 2015, isu Laut China Selatan akan menjadi satu cabaran besar kepada Malaysia yang perlu mencari jalan penyelesaian dengan kaedah yang tidak membawa kepada ketegangan.

"Kita akan pilih cara rundingan dan perbincangan...pendekatan yang jamin keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan," katanya.




iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan