JKM Akan Selia Kebajikan Adik-Beradik Mangsa Dera

Diterbitkan: Khamis, 29 Mei 2014 10:30 PM

Datuk Rohani Abdul Karim

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyelia kebajikan enam adik-beradik Mohammad Akhil Mustaqim Rashidy, 6, yang disyaki didera oleh ibu dan bapa tirinya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim. 

Beliau berkata selain bantuan penjagaan dan persekolahan, mereka akan diberi bantuan kaunseling.

Selain itu, katanya, bantuan kewangan kolektif RM450 sebulan akan diberi sehingga keenam-enam beradik mencapai usia 18 tahun bagi meringankan beban mereka.

"Kita sedang menunggu laporan lanjut daripada JKM mengenai keenam-enam beradik itu sebelum bantuan berkenaan disalurkan," katanya kepada pemberita di sini Khamis. 

Dalam kejadian Isnin lepas, kanak-kanak malang itu ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Ampang.

Ibu mangsa, seorang suri rumah berusia 31 tahun, ditahan bersama-sama bapa tiri kanak-kanak itu, seorang pemandu teksi berumur 35 tahun, di rumah mereka di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, Ampang, Selangor. 

Rohani berkata pihaknya menghantar Pegawai Pelindung JKM ke tempat kejadian sebaik menerima makluman berhubung kejadian itu. 

"Pegawai JKM akan terus memberi sesi kaunseling memandangkan mereka masih trauma akibat kejadian tersebut," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan