Ibu Dyana Sofya Umum Keluar Perkasa Hari Ini

Diterbitkan: Selasa, 27 Mei 2014 1:53 PM

Yammy rela dipecat dari Perkasa supaya dapat terus menyokong perjuangan Dyana.

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Ibu kepada calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud pada Selasa mengisytiharkan dirinya bukan lagi ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

Yammy Samat berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas banyak kali diasak soalan daripada pihak media mengenainya yang dikaitkan dengan pertubuhan itu.

Menurutnya, beliau sebenarnya tidak lagi bersetuju dengan pendirian Perkasa selepas ia mengubah haluan dengan mengambil sikap untuk campur tangan dalam hal politik.

“Saya nampak tujuannya sudah tersasar maka saya bertindak untuk keluar (dari Perkasa). Saya menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu kerana mahu membantu orang Melayu.

“Saya merasakan terdapat banyak cara lagi untuk membantu orang Melayu daripada membabitkan dalam hal politik,” katanya pada sidang media selepas Dyana mengumumkan manifesto pilihan rayanya di sini.

Pada malam Isnin di ceramah anjuran DAP di Taman Industri Anson dekat sini, Yammy membuat pengakuan kepada media bahawa beliau merupakan ahli Perkasa, selain masih menjadi ahli Umno.

Menurut Yammy, beliau hanya memberitahu Dyana mengenai keahliannya dalam Perkasa baru-baru ini dan tidak banyak yang dikongsikan bersama anaknya itu.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak lagi aktif dengan Perkasa sejak lebih setahun,” katanya.

‪Ditanya sama ada kedudukannya sebagai ahli Perkasa akan mempengaruhi undi Dyana, Yammy berkata, ia tidak menjejaskan apa-apa kerana yang bertanding adalah Dyana, bukan ibu Dyana.

‪"Jika saya dikatakan menjejaskan peluang Dyana itu terpulang kepada mereka. Seseorang yang berfikiran terbuka dan pandai sudah tentu boleh menilai," katanya.

Dyana pada Isnin akhirnya mengaku ibunya pernah terlibat dalam Perkasa dan beliau sendiri pernah membantu ibunya mengendalikan sesi pendaftaran keanggotaan Perkasa pada 2008.

Terdahulu, Dyana menafikan keanggotaan ibunya dalam pertubuhan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan