PRK Teluk Intan: Kimma Bantu BN Raih Sokongan India Muslim

Diterbitkan: Ahad, 25 Mei 2014 11:35 AM

Syed Ibrahim (dua, kanan) menyerahkan sumbangan makanan untuk petugas media yang membuat liputan PRK Teluk Intan kepada Penolong Pegawai Penerangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Zalela Abdul Azid (kiri).

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) akan membantu Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan pengundi India Muslim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

Presidennya, Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, terdapat seramai 1,115 ahli Kimma yang juga merupakan pengundi di kawasan Parlimen itu.

"Masyarakat India Muslim dilihat sebagai penyokong kuat Barisan Nasional (BN). Mereka mengatakan BN menjaga Teluk Intan dengan baik walaupun kawasan parlimen ini di bawah pimpinan pembangkang sebelum ini.

"Kimma akan turut mengenal pasti pengundi India Muslim yang bukan ahli Kimma untuk menyeru mereka menyokong calon BN, Datuk Mah Siew Keong," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di pusat media PRK Teluk Intan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Teluk Intan di sini.

Syed Ibrahim berkata, beliau percaya jumlah masyarakat India Muslim lebih ramai daripada yang dijangka di Teluk Intan selain ahli Kimma.

Menurutnya, Kimma menggunakan pendekatan bertemu rakyat dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti golongan itu dan mendapatkan pandangan mereka serta memberi penjelasan terhadap pertikaian yang berbangkit berkaitan kerajaan.

"Kita akan membahagikan lokasi kunjungan terutama kawasan-kawasan yang dipengaruhi pembangkang dan mempunyai masalah tempatan," katanya.

Berdasarkan tinjauan, katanya, masih terdapat kekurangan dari segi peluang perniagaan kepada masyarakat India Muslim di Teluk Intan terutama usahawan muda.

"Walaupun banyak projek-projek di sini tetapi dilihat seolah-olah masyarakat India Muslim dipinggirkan.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) berhubung perkara itu selepas pilihan raya kecil ini bagi membantu mereka," katanya.

Beliau menambah, Kimma turut mempunyai saluran bantuan seperti kebajikan, perubatan dan pendidikan daripada Jabatan Perdana Menteri menerusi Yayasan Kemajuan Islam Nasional (Yakin).

"Kimma bekerja sepanjang tahun untuk membantu masyarakat India Muslim, dan bukan hanya semasa pilihan raya. Kita mahu jaga masyarakat terutama India Muslim," katanya.

Tags / Kata Kunci: Teluk Intan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan