Sedia Pindah Ke Bukit Gelugor Jika Menang - Nabi Bux

Diterbitkan: Sabtu, 24 Mei 2014 5:39 PM

Mohamad Nabi Bux Mohd Abd Sathar.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Calon Bebas, Mohamad Nabi Bux Mohd Abd Sathar menasihati pengundi di Bukit Gelugor supaya memilih calon wakil rakyat yang boleh berkhidmat sepenuh masa di kawasan tersebut.

Bekas Setiausaha PAS Cawangan Kampung Banjar, Batu Caves itu berkata, beliau bersedia berpindah ke Bukit Gelugor untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada rakyat sekiranya diberikan mandat.

"Saya ingin bertugas sepenuh masa,  bukan seperti calon DAP, Ramkarpal di mana separuh masanya dibahagikan di Bukit Gelugor,  separuh lagi di mahkamah.

"Namun terpulang kepada rakyat di sini untuk membuat pilihan sama ada mahukan pemimpin separuh masa atau sepenuh masa," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tun Sardon, Gelugor pada Sabtu.

Menurutnya, rakyat juga perlu membuka mata dengan melihat perubahan yang dibawa mendiang Karpal Singh di kawasan itu.

"Pengundi perlu fikir balik ketika mendiang Karpal menjadi Ahli Parlimen, apa perubahan yang dibawanya selama tempoh itu.

"Ini kerana dia seorang peguam, bukan sepenuh masa bersama rakyat. Beliau turut guna wakil-wakilnya," katanya.

Memasuki hari terakhir kempen, Mohamad Nabi mendakwa yakin tidak akan kehilangan wang depositnya berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada pengundi di sekitar Bukit Gelugor.

"Saya dapat sokongan yang memberangsangkan daripada umat Islam yang inginkan pembaharuan dan menghapuskan kemiskinan.

"Begitu juga dari orang India... Saya tak boleh nak kata 100 peratus tapi Alhamdulillah," katanya.

Mengulas mengenai pendekatannya dalam menarik pengundi Cina sedangkan beliau memperjuangkan hukum hudud, Mohamad Nabi berkata, golongan bukan Islam perlu dijelaskan mengenainya agar mereka mendapat gambaran sebenar.

"Apabila kita jelaskan pada orang bukan Islam, mungkin mereka akan setuju dan mula terima hukum ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: Nabi Bux , pilihan raya kecil , Bukit Gelugor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan